SHAH ALAM, 20 FEB: Sebanyak 61 peratus daripada 75,000 keluarga fakir dan miskin yang menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) tertumpu empat daerah iaitu Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari memberitahu peningkatan kos sara hidup dan jurang pendapatan serta perbelanjaan antara punca semakin ramai keluarga memerlukan bantuan.
Beliau percaya sebahagian mereka penduduk luar yang mencari rezeki dengan berhijrah ke Selangor ekoran perkembangan pesat sektor perindustrian serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Daripada lebih 75,000 keluarga fakir miskin, 61 peratus daripadanya tertumpu di empat daerah itu kerana kawasan berkenaan antara lokasi paling pesat membangun di Selangor.
"Perbezaan kos sara hidup antara daerah menjejaskan keseimbangan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah sekali gus menyebabkan sebahagian keluarga tergolong dalam kelompok asnaf,” katanya.
Mengikut data Zakat Selangor kepada Media Selangor, Petaling mencatat bilangan tertinggi iaitu 13,611 keluarga, Klang (12,605 keluarga), Hulu Langat (11,780 keluarga) dan Gombak (7,916 keluarga).

Menurut Mohd Khaidzir, bantuan ditentukan melalui lawatan fizikal, bancian dan penilaian haddul kifayah iaitu kiraan had keperluan asas yang mengambil kira kos hidupan semasa serta struktur tanggungan isi rumah.
Katanya, perhatian turut diberi kepada warga emas yang ada isu kesihatan dan mualaf yang berdepan ancaman dengan menempatkan mereka di institusi khas bagi menjaga kebajikan dan keselamatan mereka.
Selain itu, Mohd Khaidzir memberitahu Zakat Selangor menggunakan pendekatan turun ke lapangan untuk mengenal pasti seterusnya membantu asnaf yang tercicir atau tidak menerima bantuan.
Beliau juga menjelaskan Skuad Jejak Kemiskinan yang diperkenalkan sejak tahun 2011 berperanan untuk menjejak golongan yang layak dalam kalangan masyarakat tetapi masih belum menerima bantuan zakat.
Katanya, skuad itu bekerja rapat dengan penolong amil kariah, pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid serta surau, ketua kampung bagi memastikan kesahihan maklumat seseorang asnaf.
"Kadang-kala berlaku kekhilafan apabila ‘influencer’ (pempengaruh) sampai dahulu. Ada juga kes bantuan zakat sudah diberi tetapi tidak diuar-uar kerana menghormati privasi pemohon yang malu," katanya.
Menurutnya, unit khas Skuad Saidina Umar beroperasi 24 jam bagi menangani aduan dan kes kecemasan yang memerlukan bantuan segera sebelum tindakan lanjut dibuat berdasarkan semakan kelayakan.
Beliau menekankan pendekatan itu bertujuan membawa zakat terus kepada mereka yang memerlukan terutama golongan asnaf bandar yang sering tercicir daripada kaedah bantuan sedia ada.



