Lelaki bawa beg tangan, bertudung pecah rumah diburu polis

19 Feb 2026, 7:14 AM
Lelaki bawa beg tangan, bertudung pecah rumah diburu polis

SHAH ALAM, 19 FEB: Polis giat memburu seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di kawasan Pusat Komersial Seksyen 7 di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata pihaknya menerima laporan pada jam 7.20 malam tadi daripada seorang wanita tempatan yang menyewa sebuah unit rumah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang berusia lingkungan 20-an dan merupakan penuntut universiti awam tempatan memaklumkan kali terakhir meninggalkan kediaman itu pada 17 Februari untuk pulang bercuti ke kampung.

“Pada jam 6.30 petang semalam, selepas mangsa pulang bercuti didapati pintu masuk utama rumahnya terbuka dan keadaan di dalam berselerak dipercayai dimasuki individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki, bangsa tidak dapat dipastikan, memecah masuk ke dalam rumah tersebut pada jam 9.26 pagi semalam ketika tiada penghuni di rumah.

“Berdasarkan rakaman itu, suspek cuba menyamar dengan mengenakan pakaian wanita seperti bertudung dan membawa beg tangan agar perbuatannya tidak disyaki penghuni rumah lain di kawasan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, Ramsay memaklumkan tiada sebarang kerugian atau kehilangan barang berharga dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Katanya, suspek kini giat dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk sekitar supaya memaklumkan kepada jiran atau balai polis berdekatan sekiranya meninggalkan rumah untuk tempoh tertentu.

“Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034 bagi membantu siasatan,” katanya.