KLANG, 19 FEB: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan cubaan menyeludup lapan kontena mengandungi sisa elektronik (e-sisa) dianggarkan bernilai RM2.15 juta di Pelabuhan Utara, awal bulan ini.
Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata, rampasan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang disalurkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong sebelum tindakan menahan kontena terbabit dibuat di CP Hall Yard Pelabuhan Utara, pada 3 Februari kira-kira jam 11 pagi.
"Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor. Hasil pemeriksaan mendapati lapan kontena bersaiz 40 kaki mengandungi pelbagai sisa elektronik, termasuk komponen komputer, tembaga, sisa wayar dan kabel, dengan anggaran berat keseluruhan 186,737 kilogram manakala nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,152,476.
"Barangan tersebut dipercayai diimport dari tiga negara iaitu Kanada, Sepanyol dan Crotia tanpa permit sah serta diikrarkan secara tidak benar dalam borang pengikraran kastam bagi mengelakkan keperluan permit import daripada JAS," katanya dalam sidang media di Pelabuhan Utara hari ini.
Beliau berkata pengikraran dibuat sebagai bahan lain bagi mengaburi pihak berkuasa, sedangkan siasatan mendapati kandungan sebenar adalah sisa elektronik yang tertakluk kepada kawalan ketat import.
"Import sisa elektronik merupakan barangan larangan bersyarat di bawah Butiran 54, Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar," jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana-mana lebih tinggi) dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (mana-mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun rampasan dibuat di Selangor, keseluruhan siasatan dan tindakan penguatkuasaan dikendalikan oleh JKDM Pahang berdasarkan maklumat risikan awal yang diterima pihaknya.
"Bahagian Penguatkuasaan JKDM tidak mempunyai sempadan negeri. Mana-mana negeri boleh mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diterima dan kes ini akan diuruskan sepenuhnya oleh JKDM Pahang sehingga ke peringkat pendakwaan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah mengenal pasti ejen penghantaran yang terlibat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar barangan berkenaan.
"Rampasan akan diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut termasuk proses penghantaran semula ke negara asal selaras dengan peraturan sedia ada.
"Kegiatan penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berpotensi mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat melalui pencemaran alam sekitar," tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menyalurkannya kepada JKDM melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.






