Masjid nadi peradaban, simbol penyatuan ummah

20 Feb 2026, 3:00 AM
Masjid nadi peradaban, simbol penyatuan ummah

Masjid bukan sekadar binaan fizikal yang tersergam indah dengan kubah, menara dan seni bina yang memukau mata.

Dalam kosmologi Islam, masjid ialah jantung yang mengepam denyut kehidupan rohani, intelektual dan sosial ke seluruh tubuh ummah.

Daripadanya terjalin peradaban yang meliputi nilai tauhid, ilmu, akhlak dan kebersamaan yang saling berjalin membentuk masyarakat berteraskan iman.

Hubungan antara masjid dan ummah ialah hubungan simbiotik yang tidak terpisah. Masjid memerlukan kehadiran ummah untuk dimakmurkan, manakala ummah pula memerlukan masjid sebagai pusat rujukan spiritual, sosial dan moral.

Apabila hubungan ini melemah, kehidupan bermasyarakat menjadi gersang dan kehilangan arah. Namun apabila ia kukuh, masjid akan menjadi tempat kebangkitan tamadun yang mampan.

Sejarah Islam membuktikan masjid berdiri di pusat perubahan besar. Langkah pertama Rasulullah SAW sebaik sahaja tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah ialah membina Masjid Nabawi.

Tindakan ini bukan kebetulan, tetapi strategi peradaban yang lahir daripada wahyu dan hikmah kenabian.

Al-Quran sendiri mengiktiraf masjid sebagai rumah ibadah yang disucikan dan pusat keimanan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 18:

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah…”

Ayat ini menegaskan hubungan seseorang dengan masjid bukan isu pinggiran, bahkan ia sebagai indikator keimanan yang hidup dan bernyawa.

Dalam sirah, Masjid Nabawi berfungsi sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, institusi pentadbiran, medan syura, tempat kebajikan, bahkan pembentukan kepimpinan.

Di sinilah Rasulullah SAW menyatukan Muhajirin dan Ansar, membina disiplin sosial serta merancang strategi mempertahankan Madinah. Masjid, dalam erti ini, ialah nadi utama yang menggerakkan keseluruhan kehidupan masyarakat Islam awal.

Jika kita mendalami isu ini melalui lensa sosiologi, pemikiran Ibn Khaldun dalam Muqaddimah memberikan pencerahan yang tajam.

Beliau menegaskan kekuatan sesuatu peradaban bertunjangkan semangat solidariti sosial yang menyatukan manusia di bawah matlamat bersama.

Subur solidariti

Dalam konteks moden, masjid ialah ejen paling berkesan untuk menanam dan menyuburkan solidariti ummah.

Apabila umat Islam berhimpun lima kali sehari, berdiri sebaris tanpa membezakan status, pangkat atau kekayaan, tembok kelas sosial runtuh secara senyap. Inilah pembentukan kesamarataan yang dapat dihidupkan secara konsisten melalui masjid.

Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa peradaban akan runtuh apabila manusia gagal bekerjasama. Masjid berfungsi sebagai tapak semaian kerjasama ini.

Dengan masjid, dapat membentuk komuniti yang bergerak seiring, berpaksikan nilai tauhid, dan bersedia untuk berkongsi kepentingan diri demi kebaikan bersama.

Peranan masjid. Grafik AZWA MALEK

Tidak dapat dinafikan, landskap sosial hari ini telah berubah. Urbanisasi, tekanan ekonomi, dan kesibukan hidup moden sering menjadikan hubungan ummah dengan masjid semakin renggang.

Dalam sesetengah keadaan, masjid dilihat sekadar ruang ritual, bahkan ada yang menganggapnya hanya relevan untuk golongan tertentu.

Persepsi ini mesti diubah. Untuk mengembalikan peranan masjid sebagaimana yang diimaginasikan semula oleh model Nabawi, pengurusan masjid perlu bersifat inklusif, progresif dan berakar pada realiti semasa.

Kesimpulannya, masjid dan ummah tidak boleh dipisahkan. Hubungan ini ialah tulang belakang kekuatan Islam sepanjang sejarah.

Masjid yang dimakmurkan dengan pengisian spiritual, intelektual dan sosial akan melahirkan masyarakat yang seimbang dan berdaya saing.

Kita perlu bergerak daripada sekadar membina masjid kepada memakmurkan masjid. Kekuatan ummah bukan terletak pada gahnya seni bina atau ketinggian menara, tetapi pada sejauh mana nilai yang lahir dari mimbar dan saf solat diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Dengan berpaut kepada al-Quran, meneladani sirah Nabawi serta memahami realiti sosiologi masyarakat, masjid akan kembali menjadi pusat peradaban yang hidup dan terus memberi makna kepada perjalanan ummah, kini dan masa hadapan.