PETALING JAYA, 19 FEB: Syarikat penerbitan yang menerima geran Kerajaan Selangor, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan menterjemah kitab tokoh Islam termasuk pendiri empat mazhab tahun ini seterunya mengangkat semula tradisi pengajian berkitab di masjid.
Naskhah itu antaranya biografi imam empat mazhab iaitu Shafie, Maliki, Hambali dan Hanafi dan Saidina Ali Abi Talib selain kitab al-Hikam karangan Ibnu ‘Athaillah As-Sakandari.
Ketua Pegawai Eksekutif IBDE Farhan Affandi memberitahu sebahagian kitab berkenaan akan digunakan untuk sesi pengajian dalam Festival Turath Islami Selangor (FTIS) pada tahun ini.

“Beberapa lagi karya berada pada peringkat akhir terjemahan termasuk biografi Saidina Ali dan buku berkaitan empat imam mazhab dijangka terbit beberapa bulan akan datang," katanya kepada Media Selangor.
Saidina Ali adalah tokoh utama dalam sejarah Islam selain sepupu dan menantu kepada Rasulullah SAW. Ali tergolong dalam kalangan Ahlul Bait yang dijanjikan ganjaran syurga.
Dianggap pintu gerbang pengetahuan Islam, beliau juga salah seorang khalifah Khulafa’ al-Rasyidin.
Imam Shafie, Maliki, Hambali dan Hanafi pula pendiri pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi panduan penduduk nusantara.
Ibnu 'Athaillah hidup antara 1259–1309 antara ulama besar, ahli fikah dan ahli tasawuf yang mengarang lebih 20 buku pelbagai bidang meliputi tafsir, hadis, akidah dan nahu Arab.
Nama sebenar Tajuddin Abu al-Fadl Ahmad bin Muhammad yang lahir di Mesir terkenal kerana menyepadu fikah dan tasauf serta menegaskan tasawuf mesti berlandaskan syariat yang kukuh.
Kitab al-Hikam yang masyhur di seluruh dunia mengandungi himpunan kata hikmah tentang tauhid, akhlak dan perjalanan kerohanian yang menjadi rujukan institusi pengajian tradisional.
Farhan memberitahu projek terbesar ialah penerban kitab Ihya' Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali kini sampai ke jilid terakhir dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
"Keseluruhan jilid itu juga telah mula dibaca dan diajar dalam Festival Turath Islami yang pertama,” katanya lagi.

Beliau berkata kitab tersebut belum pernah diterjemah ke bahasa Melayu dalam beberapa dekad terakhir meski terjemahan dalam bahasa Indonesia ada dilakukan pada 1960-an.
“Melalui kajian, kitab merangkumi aspek tasauf, akhlak, tauhid dan fikah semuanya dalam 10 jilid bahasa Arab tetapi dalam bahasa Melayu, kita jadikan 20 jilid untuk mudah dibaca,” katanya.
Menurut Farhan, IBDE juga menerbitkan pelbagai buku lain termasuk novel, biografi dan sejarah termasuk Rasulullah, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab dan karya berkaitan isteri-isteri Baginda.
“Matlamat IBDE bukan sekadar menterjemah dan menjual kitab tetapi mengangkat semula tradisi pengajian berkitab di masjid. Kita mahu kitab dibaca, diajar dan jadi budaya ilmu dalam masyarakat," katanya.



