JAIS peruntuk RM3 juta baik pulih masjid, larang program bertindih waktu solat

16 Feb 2026, 11:44 AM
JAIS peruntuk RM3 juta baik pulih masjid, larang program bertindih waktu solat

SHAH ALAM, 16 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperuntukkan RM3 juta bagi kerja baik pulih dan naik taraf masjid serta surau di seluruh negeri tahun ini.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata peruntukan itu bertujuan memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah khususnya menjelang Ramadan tidak lama lagi.

“Peruntukan ini digunakan untuk baik pulih dan naik taraf dengan melaksana sistem merit iaitu senarai masjid serta surau mengikut keselamatan yang mana sekiranya tidak dibaiki menyebabkan kerosakan besar.

“Setiap kerosakan akan dinilai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak bererti jika ia buruk mendatangkan bahaya. Ini bangunan kerajaan, bukannya persendirian, jika ada tohmahan tidak selamat kerana buruk, ia tidak benar.

“JKR akan menilai selamat atau tidak dan memang tanggungjawab JAIS untuk naik taraf serta baik pulih. Antara kerja dilaksana baiki bumbung, tandas yang melibatkan keselamatan dan keselesaan,” katanya kepada Media Selangor.

Peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu bertujuan memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah khususnya menjelang Ramadan tidak lama lagi. — Foto BERNAMA

Pada masa sama, beliau mengingatkan pentadbiran masjid dan surau supaya tidak melaksanakan program yang bertindih dengan waktu solat fardu atau tarawih sepanjang Ramadan.

Katanya, JAIS sentiasa menyokong pelaksanaan program keagamaan dengan syarat ia berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan penceramah yang dijemput mempunyai tauliah.

“Kita tidak benarkan solat tarawih empat rakaat, ceramah dan disambung semula. Jika mahu laksana, selepas solat tarawih atau sementara menunggu waktu solat fardu seterusnya.

“Jangan ambil ketika hendak waktu solat fardu dan tarawih. Kita faham masjid dan surau pusat ilmu tetapi jangan sampai perangkap sehingga jemaah lari mencari tempat lain, utamakan solat berjemaah,” katanya.

Tambah beliau, JAIS sentiasa memastikan pentadbiran masjid mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.

“Buat masa ini, setiap masjid dan surau di seluruh Selangor dapat menampung situasi Ramadan tidak lama lagi. Arahan gotong-royong, solat tarawih 20 rakaat dan kuliah semua telah diingatkan.

“Malah, pentadbiran masjid tahu apa yang perlu dilakukan cuma JAIS memantau dan mengingatkan supaya mereka mematuhi peraturan,” katanya.