Pokok tumbang: MB doa kesembuhan dua pensyarah UiTM, wakil rakyat minta MBSA ambil tindakan

16 Feb 2026, 11:33 AM
Pokok tumbang: MB doa kesembuhan dua pensyarah UiTM, wakil rakyat minta MBSA ambil tindakan
Pokok tumbang: MB doa kesembuhan dua pensyarah UiTM, wakil rakyat minta MBSA ambil tindakan

SHAH ALAM, 16 FEB: Dato’ Menteri Besar mengambil perhatian penuh terhadap keadaan dua mangsa yang terlibat dalam insiden pokok tumbang di Seksyen 7, tengah hari tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook turut mengajak semua pihak mendoakan kedua-dua mangsa yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berada dalam keadaan selamat.

“Saya dimaklumkan berkenaan insiden pokok tumbang yang berlaku di Seksyen 7 Shah Alam dan melibatkan dua orang pensyarah UiTM.

“Bersama kita mendoakan agar kedua-dua pensyarah berkenaan selamat serta segera sembuh insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pokok-pokok tua yang berada di sekitar laluan utama.

Najwan Halimi berkata, pokok-pokok tua yang memiliki struktur akar yang semakin lemah dan mereput perlu diganti dengan penanaman semula pokok-pokok baharu.

“Saya mendoakan agar kedua-dua mangsa insiden pokok tumbang tadi iaitu Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf dikurniakan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.11 tengah hari tadi, dua pensyarah berkenaan cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilapor berkata, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang merupakan pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam berada dalam keadaan sedar dan sedang menerima rawatan serta pemerhatian doktor di zon kritikal.