SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 782 pesakit batuk kering atau tuberkulosis (tibi) menerima insentif RM800 daripada Kerajaan Selangor sepanjang tahun lalu bagi menampung kos rawatan mereka, kata EXCO kesihatan awam.
Jamaliah Jamaluddin berkata jumlah penerima Insentif Rawatan Tuberkulosis (Tibi) itu menunjukkan peningkatan berbanding 765 pesakit yang direkodkan pada 2024, iaitu tahun pertama pelaksanaan bantuan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan peningkatan penerima bantuan berikutan faktor kelayakan dan capaian bantuan, bukan disebabkan pertambahan kes tibi.
“Jumlah penerima yang meningkat itu tidak menggambarkan sama ada kes banyak atau sedikit.
“Ia bergantung kepada faktor lain seperti kelayakan penerima dan kriteria ditetapkan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, kesinambungan peruntukan insentif itu membolehkan lebih ramai pesakit khususnya dalam kategori berpendapatan rendah (B40) melengkapkan rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Selangor memastikan pesakit, terutamanya golongan B40, dapat meneruskan rawatan secara konsisten sehingga mencapai kesembuhan.
“Tempoh rawatan lazimnya antara enam hingga sembilan bulan. Bantuan ini penting bagi mengelakkan keciciran yang boleh menyebabkan komplikasi serta risiko jangkitan berulang,” katanya lagi.
Permohonan bagi mendapatkan bantuan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi bantuansihat.selangor.gov.my

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 503 kes baharu tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026), menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.
Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 614 kes, diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) sert Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).


