Kes tibi meningkat: Usah panik, amalkan langkah pencegahan

16 Feb 2026, 6:00 AM
Kes tibi meningkat: Usah panik, amalkan langkah pencegahan
Kes tibi meningkat: Usah panik, amalkan langkah pencegahan

SHAH ALAM, 16 FEB: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik susulan peningkatan kes tuberkulosis (tibi) di Selangor, sebaliknya terus mengamalkan langkah pencegahan asas bagi mengawal penularan penyakit itu.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata pelbagai langkah kawalan telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara.

“Antara tindakan yang diambil termasuk pengesanan kes secara aktif di lokaliti terlibat, pengasingan serta rawatan pesakit di fasiliti kesihatan, dan pemantauan pematuhan rawatan sehingga tamat tempoh rawatan.

“Hasil tindakan pantas dan bersepadu ini, penularan penyakit berjaya dikawal dan risiko penyebaran lanjut dapat diminimumkan,” katanya kepada Media Selangor, hari ini.

Menurut beliau, penyakit batuk kering boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya jika pesakit mendapatkan rawatan awal serta mematuhi rawatan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengamalkan langkah pencegahan asas seperti memakai pelitup muka, menutup mulut ketika bersin atau batuk, memastikan pengudaraan yang baik di dalam bangunan, mendapatkan suntikan vaksin BCG serta mengelakkan tabiat merokok.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap gejala awal dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami batuk serta demam berpanjangan melebihi dua minggu, susut berat badan atau berpeluh pada waktu malam.

“Masyarakat juga tidak boleh menangguhkan rawatan dan perlu segera tampil ke fasiliti kesihatan sekiranya bergejala, selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak kesihatan sekiranya dikenal pasti sebagai kontak rapat,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh program pencegahan, saringan dan rawatan tibi secara berfokus, inklusif dan berterusan demi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan penularan penyakit tibi di negeri ini dapat terus dibendung dalam suasana yang terkawal dan selamat,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 503 kes baharu tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026), menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.

Menurut kementerian itu, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 614 kes, diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).