SHAH ALAM, 15 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah agar generasi pemain hari ini mencontohi semangat dan kegigihan pemain terdahulu yang setia kepada pasukan tanpa berbelah bahagi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, jasa dan bakti pemain terdahulu kepada pasukan Selangor wajar dijadikan teladan oleh pemain masa kini.
“Ketika pasukan Selangor diterajui oleh Dato’ Seri Harun Idris pada era 60-an, Beta masih ingat dan menyaksikan sendiri bagaimana para pemain mempamerkan kesetiaan luar biasa kepada pasukan.
“Mereka bermain sepenuh jiwa, bukan demi nama peribadi tetapi demi lencana di dada, warna merah kuning dan maruah negeri.
“Beta masih ingat slogan keramat Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari iaitu ‘Saya hidup dan mati untuk Selangor’. Semangat inilah yang Beta harapkan terus hidup dan menjadi pedoman kepada generasi pemain hari ini.
“Apa yang boleh kita pelajari daripada pemain terdahulu ialah kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan,” titah Baginda pada majlis pelancaran buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor di Stadium Merdeka, hari ini.
Mengimbau era 1960-an hingga 1980-an, Baginda bertitah Selangor ketika itu tidak memiliki pemain import, namun tetap mampu mendominasi liga, menjuarai piala utama dan mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Fokus diberikan kepada usaha mencungkil bakat tempatan dari setiap daerah di Selangor, membentuk anak-anak negeri dengan disiplin, kesungguhan dan rasa cinta mendalam kepada pasukan.
“Pendekatan ini melahirkan pemain berjiwa besar serta mewujudkan hubungan emosional kukuh antara pasukan dan penyokong.
“Beta amat kagum dengan semangat dan kegigihan pemain serta penyokong ketika itu yang berjaya menjulang nama Selangor sebagai pasukan yang digeruni dan disegani,” titah Baginda.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atas sokongan kepada pasukan.
“Sejarah kegemilangan Selangor tidak lengkap tanpa menyebut nama besar seperti Allahyarham Mokhtar Dahari bersama Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Ann, mendiang Dato’ R. Arumugam, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.
“Selain itu mendiang Dato’ M. Chandran, Dato’ Zainal Abidin Hassan, Azman AdrIan dan ramai lagi yang bukan sahaja mencipta kemenangan, malah membina satu legasi yang kekal terpahat dalam ingatan rakyat Selangor,” titah Baginda.


