Bola sepak bahasa penyatuan rakyat, Sultan Selangor lancar buku sejarah gemilang Selangor

15 Feb 2026, 12:01 PM
Bola sepak bahasa penyatuan rakyat, Sultan Selangor lancar buku sejarah gemilang Selangor

SHAH ALAM, 15 FEB: Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor mengimbau nostalgia kegemilangan pasukan itu, termasuk persaingan tradisi Selangor dan Singapura yang disifatkan sebagai era istimewa dalam sejarah bola sepak tempatan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah ketika itu bola sepak menjadi bahasa penyatuan rakyat apabila stadium dipenuhi penyokong dari seluruh negara tanpa mengira usia dan latar belakang.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, sukan berkenaan merupakan instrumen terbaik dalam menyatukan masyarakat berbilang bangsa.

Pelancaran serta jualan buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor. Foto Facebook MBSJ

“Walaupun persaingan amat sengit, nilai hormat, adab dan kesukanan tetap dijunjung tinggi. Inilah roh bola sepak yang wajar kita kenang dan warisi.

“Buku ini bukan sekadar imbasan sejarah, tetapi merakam perjuangan, pengorbanan dan kebanggaan pasukan bola sepak Selangor,” titah Baginda pada majlis pelancaran buku itu di Stadium Merdeka, hari ini.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor serta semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku penaung Selangor FC mengiringi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada pelancaran buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor di Stadium Merdeka. Foto Facebook MBSJ

Titah Baginda, penerbitan yang dirancang sejak 10 tahun lalu itu memerlukan penelitian rapi kerana melibatkan ramai bekas jurulatih, pemain dan individu yang pernah menyumbang kepada bola sepak Selangor.

“Buku ini menghimpunkan perjalanan panjang pasukan bola sepak Selangor sejak mula ditubuhkan sehingga ke hari ini. la merekodkan pencapaian, jatuh bangun serta data dan statistik kejayaan Selangor dari era Piala Malaya hingga Liga Semi Pro, Liga Perdana dan Piala FA.

“Turut dipaparkan pencapaian gemilang pasukan Selangor menjuarai liga sebanyak enam kali dan menjulang 33 kemenangan di saingan Piala Malaysia, yang telah mengukuhkan Selangor sebagai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak tanah air,” titah Baginda.