SHAH ALAM, 15 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan penyokong Selangor supaya menjaga tingkah laku dan adab sama ada di dalam atau luar stadium.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut bertitah agar penyokong menjauhi dadah yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran.
“Sokongan yang bersemangat hendaklah disertai disiplin dan kebijaksanaan. Jagalah maruah pasukan dan negeri serta elakkan perbuatan yang boleh mengundang hukuman atau denda.
“Suarakan ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul dan berhemah. Ingatlah bahawa penyokong adalah cerminan kepada pasukan yang disokong,” titah Baginda pada pelancaran buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor di Stadium Merdeka, hari ini.
Turut mengiringi Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku penaung Selangor FC.
Sebelum ini, Baginda menzahirkan dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu yang didakwa melibatkan penyokong Selangor FC.
Baginda tidak berkenan terhadap sebarang kegiatan tidak bermoral termasuk budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi Selangor FC.
Baginda turut bertitah agar polis mengenal pasti dalang insiden tersebut dan jika didapati bersalah, mereka dikenakan hukuman maksimum mengikut undang-undang.
Selain itu, Baginda mencadangkan penyokong yang disabitkan kesalahan kerana mencetuskan kekacauan diharamkan memasuki stadium bagi mana-mana perlawanan melibatkan Selangor FC.
Insiden berkenaan berlaku pada 1 Februari lalu membabitkan segelintir penyokong di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC.


