50 akaun media sosial diteliti, sebar naratif palsu dan 3R - SKMM

13 Feb 2026, 12:08 PM
50 akaun media sosial diteliti, sebar naratif palsu dan 3R - SKMM

PUTRAJAYA, 13 FEB: Sebanyak 50 akaun media sosial sedang diteliti bagi membantu siasatan berhubung penyebaran naratif palsu dan berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) susulan satu insiden kemalangan di Selangor.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi satu kenyataan memaklumkan isu itu dipandang serius memandangkan kandungan berkenaan telah dimanipulasi sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.

"Analisis SKMM mengesan elemen tingkah laku tidak autentik secara terselaras (CIB) apabila kandungan sama disebarkan berulang kali di Facebook dan TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam. Naratif sensasi dan pelabelan berunsur perkauman yang ditokok tambah adalah serius dan berpotensi mengancam ketenteraman awam.

"Setakat ini, 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok sedang diteliti bagi membantu siasatan," menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor mengesahkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada perselisihan faham peribadi berkaitan isu tanah dan laluan serta tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman.

"Justeru, sebarang cubaan mengaitkannya dengan isu 3R adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan," menurut kenyataan itu.

SKMM menegaskan tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.

SKMM memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

Menurut SKMM, Seksyen 233(1)(a) Akta 588 melarang penyebaran atau penerbitan kandungan yang antara lain, bersifat palsu, mengancam atau jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

-- BERNAMA