Tujuh bot nelayan ditahan dalam OP MARDOF di perairan Selangor

13 Feb 2026, 11:01 AM
Tujuh bot nelayan ditahan dalam OP MARDOF di perairan Selangor

SHAH ALAM, 13 FEB: Sebanyak tujuh bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor dalam Operasi Bersepadu OP MARDOF yang dijalankan dari 6 hingga 12 Februari lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Mohd Fairusnizam Abdul Razak, berkata penahanan itu hasil daripada 65 pemeriksaan fizikal ke atas pelbagai jenis vesel nelayan sepanjang tempoh operasi.

“Hasil pemeriksaan tersebut, tujuh tangkapan direkodkan membabitkan satu vesel Kelas A, dua vesel Kelas B, satu vesel Kelas C serta tiga bot fiber,” katanya pada sidang media di sini.

Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar ketika Sidang media Operasi Bersepadu OP Mardof kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Jabatan Perikanan Selangor di Pejabat Perikanan Selangor pada 13 Februari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak tujuh aset digerakkan melibatkan dua kapal dan tiga bot Maritim Malaysia serta dua bot milik Jabatan Perikanan Selangor.

Dalam perkembangan sama, seramai 14 kru warga asing berusia antara 24 hingga 51 tahun turut ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan Myanmar kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, kejayaan OP MARDOF membuktikan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).

Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar (duduk kiri) dan KDR Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak (duduk kanan) ketika Sidang media Operasi Bersepadu OP Mardof siri 2 bil 1/2026 kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Jabatan Perikanan Selangor di Pejabat Perikanan Selangor pada 13 Februari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkat kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan perairan Selangor sentiasa selamat dan terkawal.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar menyerahkan cenderahati kepada KDR Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak ketika Sidang media Operasi Bersepadu OP Mardof siri 2 bil 1/2026 kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Jabatan Perikanan Selangor di Pejabat Perikanan Selangor pada 13 Februari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR