SHAH ALAM, 13 FEB: Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam, tidak pernah memutuskan untuk membela penceroboh tanah atau menghalang hak pemilik tanah menuntut hak.
Tegas Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad, Kerajaan Negeri sedar setiap pembinaan tanpa izin adalah salah di sisi undang-undang dan keadilan mesti dikembalikan kepada pemilik sah.
Beliau berkata mesyuarat itu memutuskan supaya sebarang langkah pengosongan atau perobohan dilaksanakan secara tertib, teratur dan berlandaskan hukum serta prosedur yang betul.
“Sekiranya tindakan ini tidak dibuat dengan teratur, ia berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penceroboh dan pemilik tanah serta menimbulkan persengketaan yang lebih sukar ditangani,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau memberi contoh situasi pemilik tanah mengambil keputusan membawa jentolak sendiri bagi meruntuhkan struktur tanpa kerjasama pihak lain, yang berpotensi mencetuskan pergaduhan dan keganasan pada skala yang tidak dijangka.
“Dalam keadaan ini, polis dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terpaksa dipanggil bagi meleraikan pergaduhan. Bukankah lebih elok dan polis serta penguatkuasa PBT dilibatkan dari awal agar ketenteraman awam dapat dijamin dan tiada pergaduhan berlaku?
“Kehadiran pasukan beruniform dengan perintah mahkamah semasa proses perobohan pastinya menjamin keamanan kedua belah pihak,” katanya.
Beliau berkata keputusan Kerajaan Negeri tersebut turut mendapat nasihat Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia, memandangkan hanya mahkamah mempunyai kuasa mengisytiharkan sesuatu tindakan sebagai pencerobohan, kerana pencerobohan tanah merupakan kes sivil, bukan jenayah.
Saifuddin menegaskan Kerajaan Negeri tidak berniat menyukarkan pemilik tanah menuntut hak mereka, namun semua tindakan perlu mengikut proses undang-undang sedia ada.
“Jika penceroboh dan tuan tanah kedua-duanya mengambil tindakan tanpa melihat kepada proses yang sebenar, fikirkan kesan jangka panjang terhadap kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Rukun Negara yang kita dukung bersama,” katanya.


