KUALA LUMPUR, 12 FEB: Orang ramai dinasihatkan tidak berlindung di ruang kecil tertutup seperti bilik mandi ketika kebakaran kerana risiko maut akibat haba melampau dan asap beracun lebih tinggi berbanding ancaman api.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Hassan ‘As’ari Omar berkata perkara itu perlu diberi penekanan, terutama di bangunan tinggi bertingkat dan berstruktur strata.
“Asap kebakaran membawa zarah karbon monoksida dan bahan toksik yang boleh melemaskan mangsa dengan pantas sehingga mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri dan boleh membawa kepada kematian dalam masa singkat.
“Haba atau suhu yang sangat tinggi dalam kebakaran boleh mencapai tahap yang cukup untuk mendidihkan air di dalam bilik mandi dalam masa beberapa minit, menyebabkan kulit melecur dan organ rosak,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Tahunan JBPM Kuala Lumpur 2026 di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hassan ‘As’ari berkata JBPM telah melancarkan Ops Siaga Raya 2026 bersempena dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri.
Beliau berkata operasi itu melibatkan pengoperasian penuh semua balai bomba di Kuala Lumpur, penugasan anggota secara strategik mengikut zon risiko serta pemantauan aktif di kawasan tumpuan awam dengan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, JBPM Kuala Lumpur turut menyerahkan dua jentera Volunteer Fire Rescue Vehicle kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Desa Petaling dan PBS Salak South sebagai usaha memperkasakan peranan PBS.


