SHAH ALAM, 12 FEB: Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Jaringan Penjagaan Selangor yang menghimpunkan kira-kira 100 pemegang taruh berdaftar di negeri ini.
Menurut EXCO kebajikan, program anjuran Wanita Berdaya Selangor itu melibatkan pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan warga emas sebagai platform mendapatkan maklum balas langsung berhubung cabaran operasi serta keperluan semasa industri.
Anfaal Saari menambah program berkenaan turut menjadi medan membentangkan inisiatif ekonomi penjagaan bagi 2025 serta perancangan program tahun ini di bawah Jawatankuasa Tetap Ekonomi Penjagaan.

“Townhall ini dimulakan dengan pembentangan inisiatif ekonomi penjagaan bagi tahun 2025 serta perancangan program 2026 sebelum diteruskan sesi dialog dua hala.
“Ia juga menjadi medium penting untuk memahami realiti sebenar di lapangan sekali gus menambah baik dasar sedia ada,” katanya selepas program di Pusat Konvensyen Ideal, di sini hari ini.
Anfaal berharap inisiatif tersebut dapat memperkukuh jaringan industri penjagaan selain membuka ruang perkongsian idea dan strategi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Program turut menampilkan video pesanan khidmat awam berkaitan pencegahan penipuan hasil kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor susulan kes penyalahgunaan nama kebajikan untuk tujuan scam.
Terdahulu, Anfaal menyerahkan geran pusat penjagaan kepada 13 pengusaha melibatkan peruntukan hampir RM100,000 sebagai sokongan kepada pengukuhan operasi dan perkhidmatan mereka.




