Beri peluang OKU pendengaran selamatkan nyawa

16 Feb 2026, 4:00 AM
Beri peluang OKU pendengaran selamatkan nyawa

Selama ini, latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sering dianggap sebagai kemahiran asas yang perlu dimiliki setiap orang awam.

Namun di sebalik kempen kesedaran yang meluas, wujud realiti yang jarang diperkata tidak semua golongan benar-benar mempunyai akses kepada latihan penyelamatan nyawa itu.

Bagi orang kurang upaya (OKU) pendengaran, CPR bukan sekadar sukar dipelajari, malah hampir mustahil untuk dikuasai tanpa pendekatan yang sesuai.

Kekangan komunikasi menjadikan mereka sering terpinggir, bukan kerana tidak peduli, tetapi kerana tiada ruang dan kaedah yang mesra keperluan mereka.

Dalam situasi kecemasan, ketiadaan latihan itu menjadikan komuniti itu berada dalam dilema menyaksikan pertarungan nyawa di depan mata tanpa tahu bagaimana untuk membantu.

Jurang itu akhirnya mula dirapatkan menerusi Program Penyelamat Senyap anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memperkenalkan latihan CPR khas untuk komuniti OKU pendengaran.

Program tersebut bukan sekadar latihan teknikal, sebaliknya satu pengiktirafan betapa kemahiran menyelamatkan nyawa perlu bersifat inklusif dan adil untuk semua.

Setiausaha Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Nurul Husna Ibrahim

Tidak lagi terpinggir

Setiausaha Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Nurul Husna Ibrahim mengakui komuniti itu selama ini terpinggir daripada sistem latihan kecemasan arus perdana.

“Kami pun tidak tahu bagaimana mahu membantu. Jadi adakah itu salah kami? Sebab kami pun tidak pernah diajar,” katanya.

Kenyataan itu menggambarkan realiti sebenar apabila mereka sering menjadi pemerhati tidak berdaya dalam kecemasan, bukan kerana enggan membantu tetapi kerana tidak pernah diberi peluang untuk belajar.

Program Penyelamat Senyap tampil dengan pendekatan visual dan praktikal, menggunakan kaedah 5T Tengok, Tegur, Telefon, Teliti dan Tekan yang disusun ringkas serta mudah diingati.

Setiap langkah disampaikan menerusi Bahasa Isyarat Malaysia dengan sokongan jurubahasa, video khas dan bantuan pelajar UKM sebagai pembantu komunikasi.

Keunikan utama latihan ini terletak pada penggunaan patung latihan khas yang dilengkapi penunjuk visual. Lampu akan menyala apabila tekanan dada dilakukan dengan betul, menandakan aliran ‘darah’ sampai ke ‘otak’.

Bagi peserta yang tidak dapat mendengar arahan lisan, maklum balas visual itu menjadi pengganti bunyi, sekali gus membina keyakinan bahawa CPR dilakukan secara tepat dan berkesan.

Pendekatan inklusif ini selari dengan pandangan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Dr Norinsan Kamil Othman yang menegaskan latihan menyelamatkan nyawa tidak boleh bersifat eksklusif.

“Tiada golongan yang tercicir daripada kemahiran menyelamatkan nyawa, hanya kerana perbezaan keupayaan,” katanya.

Bagi beliau, CPR bukan sekadar kemahiran teknikal, tetapi tanggungjawab sosial. Pengalaman peribadinya menyelamatkan jiran yang pengsan, walaupun tidak berjaya, menguatkan kesedaran bahawa setiap minit tanpa bantuan boleh menentukan hidup atau mati.

Dalam program yang berlangsung di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 24 Januari, seramai 120 peserta OKU pendengaran mengikuti latihan CPR asas, dengan sebahagiannya dipilih menjalani latihan lanjutan sebagai jurulatih komuniti.

Patung latihan dan modul khas turut dibekalkan supaya ilmu tersebut dapat disebarkan ke sekolah dan persatuan komuniti OKU pendengaran.

Presiden Persatuan Pekak Islam Malaysia, Aqlam Jafri

Presiden Persatuan Pekak Islam Malaysia, Aqlam Jafri menyifatkan program itu sebagai titik tolak kesedaran baharu.

“Persatuan Pekak Islam Malaysia sangat berbangga dan sangat gembira kerana program ini memberi kesedaran kepada komuniti OKU pendengaran tentang kepentingan belajar dan tahu cara melakukan CPR.

"Jika berlaku kecemasan, kami harap komuniti ini dapat bekerjasama, belajar dan menyebarkan kesedaran ini kepada orang lain,” katanya.

UKM kini berhasrat memperluaskan Program Penyelamat Senyap sebagai model latihan CPR inklusif ke peringkat nasional, termasuk pembangunan modul khas untuk OKU penglihatan.