Selangor bakal perkenal Program Latihan Industri Kepulangan Bakat

12 Feb 2026, 7:00 AM
Selangor bakal perkenal Program Latihan Industri Kepulangan Bakat

SHAH ALAM, 12 FEB: Kerajaan Selangor akan memperkenalkan Program Latihan Industri Kepulangan Bakat bagi mengukuhkan hubungan dengan rakyat Malaysia di luar negara serta menyokong penaiktarafan industri negeri.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama persatuan alumni universiti di pelbagai negara bagi menarik pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara pulang menjalani latihan industri di jabatan Kerajaan Negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, pembangunan dan penaiktarafan industri negeri perlu disokong oleh bakat berkualiti, justeru program berkenaan melibatkan bukan sahaja universiti tempatan, malah institusi pengajian tinggi luar negara, khususnya di China dan United Kingdom.

Melalui penyelarasan bersama persatuan alumni, katanya, pelajar akan ditempatkan mengikut bidang pengajian serta latar belakang profesional masing-masing.

Sze Han berkata demikian dalam temu bual sempena sambutan Tahun Baharu Cina, sambil memaklumkan beliau kerap bertemu rakyat Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara ketika lawatan rasmi.

Katanya, pemerhatian mendapati sebahagian rakyat Malaysia di luar negara kurang memahami dasar kerajaan serta hala tuju pembangunan negara, sekali gus semakin terpisah daripada perkembangan semasa dalam negara.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari menerima kunjungan Persatuan Alumni Peking University, China pada 26 Januari 2026. Turut hadir EXCO Pelaburan, Ng Sze Han. Foto Facebook Amirudin Shari

“Ramai pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara tidak jelas tentang hala tuju masa depan negara.

"Justeru, program latihan industri ini diperkenalkan bagi membolehkan pelajar tahun kedua atau ketiga universiti pulang semasa cuti semester untuk menjalani latihan industri selama dua bulan di agensi Kerajaan Negeri atau anak syarikat Kerajaan Negeri, dengan elaun bulanan RM1,500,” katanya.

Beliau menambah, bagi memberi pendedahan lebih meluas terhadap usaha kerajaan serta membantu pelajar merancang masa depan, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan persatuan alumni universiti di pelbagai negara, khususnya universiti terkemuka di China seperti Peking University, Tsinghua University dan Beijing Normal University.

Program itu dijangka melibatkan antara 50 hingga 60 pelajar.

“Ketika ini, kami telah bekerjasama dengan Persatuan Alumni Malaysia Peking University bagi mengatur kepulangan pelajar Malaysia yang belajar di China untuk menjalani latihan industri di agensi Kerajaan Negeri atau GLC.

"Mereka akan ditempatkan berdasarkan latar belakang akademik supaya dapat memahami operasi Kerajaan Negeri dan hala tuju dasar dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Bina jaringan bakat untuk kepulangan mampan

Menyentuh isu penghijrahan bakat, Sze Han berkata pendekatan lebih realistik ialah membina jaringan bakat, menggalakkan peredaran bakat serta memperkukuh mekanisme latihan bagi memastikan kepulangan bakat berlaku secara mampan.

EXCO Pelaburan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han pada sidang media sempena Tahun Baharu Cina di Malaysia Semiconductor IC Design Park (PFCC), Puchong pada 03 Febuari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata ramai rakyat Malaysia yang lama berkerjaya di luar negara sudah stabil dalam bidang masing-masing dan tidak semua berhasrat untuk pulang menetap secara kekal.

“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan kemahiran profesional dan rangkaian antarabangsa yang mereka miliki serta menghubungkannya dengan ekosistem kerajaan dan pasaran di Malaysia supaya aliran pasaran dan teknologi dapat kembali bersama,” katanya.

Menurutnya, kepulangan bakat tidak semestinya bermaksud menetap sepenuhnya di dalam negara.

“Sebagai contoh, ‘Bapa Pendrive’ Datuk Pua Khein Seng kekal mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia tetapi terus beroperasi di peringkat global. Jaringan bakat seperti ini wajar dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pembangunan kepada negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri merancang menghantar 20 hingga 30 pegawai kanan (Gred 2 ke atas) ke China Foreign Affairs University di Beijing bagi mengikuti latihan jangka pendek tahun ini untuk mendalami trend pembangunan China serta menyerap konsep pengurusan dan pengalaman antarabangsa terkini.