SHAH ALAM, 12 FEB: Kebakaran hutan memberi kesan besar kepada alam sekitar dan hidupan liar, terutama di kawasan sensitif seperti hutan gambut.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad berkata hutan yang terbakar, khususnya hutan gambut, mengambil masa yang sangat lama untuk pulih, iaitu antara 30 hingga 50 tahun atau lebih, bergantung kepada tahap kerosakan dan punca kebakaran.
Menurutnya, kebakaran menyebabkan banyak haiwan kehilangan habitat dan mati, terutama haiwan kecil, reptilia dan serangga yang sukar melarikan diri. Keadaan ini sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem dan biodiversiti di kawasan terjejas.
“Kebakaran turut memberi tekanan fisiologi kepada pokok akibat haba melampau serta pencemaran udara, sekali gus menjejaskan fungsi semula jadi hutan,” katanya kepada Media Selangor.
Azhar berkata pelan pemulihan hutan secara menyeluruh akan dilaksanakan sebaik sahaja kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya. Pelan ini bertujuan memulihkan semula fungsi ekosistem hutan, melindungi biodiversiti serta mengurangkan risiko kebakaran berulang.
Menurutnya, penilaian terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti keluasan kawasan terjejas, tahap kerosakan dan jenis ekosistem yang terlibat. Penilaian itu meliputi keadaan tanah, tumbuhan, hidupan liar serta sistem saliran, dengan bantuan teknologi seperti imej satelit dan dron.
“Pemulihan vegetasi akan dilaksanakan melalui kaedah penanaman semula spesies tempatan yang bersesuaian dengan ekosistem,” katanya.
Beliau menegaskan kebakaran hutan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian manusia, justeru semua pihak perlu bertanggungjawab memastikan kelestarian hutan terus terpelihara demi generasi akan datang.
Katanya, Seksyen 82(1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 melarang mana-mana individu menyalakan, menyimpan atau membawa api, atau membiarkan api menyala dalam kawasan hutan simpanan kekal sehingga boleh membahayakan kawasan tersebut.
“Mana-mana orang yang melanggar Subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka, mengawal sumber yang boleh mencetuskan kebakaran, mengamalkan pengurusan tanah yang bertanggungjawab dengan kaedah pembersihan tanpa pembakaran selain melaporkan segera sebarang tanda kebakaran.
“Orang awam orang dinasihtakan sentiasa berwaspada dan memainkan peranan aktif dalam mencegah kejadian kebakaran hutan khususnya semasa musim panas dan cuaca kering berpanjangan.
“Kebakaran hutan bukan saja memusnahkan biodiversiti dan ekosistem semulajadi, malah turut memberi kesan buruk terhadap kesihatan awam, kualiti udara serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Beberapa kejadian kebakaran hutan berlaku di Selangor baru-baru ini antaranya melibatkan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan melibatkan keluasan kira-kira 22.6 hektar.


