Cuaca kering, Selangor catat lonjakan kes kebakaran terbuka

11 Feb 2026, 9:01 AM
Cuaca kering, Selangor catat lonjakan kes kebakaran terbuka
Cuaca kering, Selangor catat lonjakan kes kebakaran terbuka

SHAH ALAM, 10 FEB: Kes kebakaran terbuka di Selangor meningkat hampir dua kali ganda susulan cuaca kering pada awal tahun ini, sekali gus menyebabkan api lebih mudah merebak terutama di kawasan hutan dan belukar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebanyak 674 kes kebakaran melibatkan api lalang, pembakaran sampah tidak terkawal, hutan dan belukar direkodkan dari 1 Januari hingga 8 Februari, berbanding 319 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan ketara itu berpunca daripada keadaan cuaca awal tahun 2026 yang lebih kering berbanding awal tahun sebelumnya, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terbuka.

“Terdapat peningkatan kes kebakaran terbuka dilaporkan. Perkara ini berlaku kerana cuaca awal 2025 tidak terlalu kering berbanding cuaca awal 2026 yang jauh lebih kering,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, beberapa kawasan dikenal pasti sebagai lokasi panas (hotspot) kebakaran hutan ketika musim kering, antaranya Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) yang baru-baru ini mengalami kebakaran melibatkan puluhan hektar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail. Foto BERNAMA

“Selain itu, Hutan Simpan Raja Musa, Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) serta kawasan belukar di selatan Selangor turut dikenal pasti sebagai hotspot sejarah kebakaran,” katanya.

Wan Md Razali berkata, JBPM Selangor sentiasa memantau situasi semasa secara proaktif, termasuk kesiapsiagaan pasukan, pemantauan lokasi panas serta kerjasama rapat dengan agensi berkaitan.

Katanya, pemantauan kebakaran terbuka turut dilaksanakan menerusi tinjauan udara menggunakan helikopter JBPM bagi mengesan kebakaran di kawasan sukar diakses.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka, termasuk membakar sampah, rumput atau sisa pertanian tanpa kawalan kerana berisiko mencetuskan kebakaran besar.

“Orang awam juga diminta segera melaporkan sebarang tanda asap atau api kepada JBPM supaya tindakan awal dapat diambil.

“Masyarakat turut digalakkan mengurus sisa secara lebih selamat seperti melalui kompos atau kitar semula, selain tidak membuang puntung rokok merata-rata terutama ketika cuaca panas dan kering,” katanya.

Menurut beliau, kesedaran komuniti dan tindakan pantas merupakan faktor penting bagi mengelakkan kebakaran kecil daripada merebak menjadi bencana lebih besar.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kebakaran hutan direkodkan di Selangor kebelakangan ini, termasuk di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan melibatkan keluasan kira-kira 22.6 hektar.

Di Hulu Selangor, sebanyak tujuh kejadian kebakaran dilaporkan pada 4 Februari lalu melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar dan kawasan perindustrian, antaranya di Jalan Peretak dengan kira-kira 15 ekar hutan terbakar.

Kebakaran lain turut melibatkan Hulu Tamu, Batang Kali (lima ekar hutan), Bukit Beruntung (tiga ekar belukar), Jalan Zurah 5, Rasa (tiga ekar semak dan lalang), Taman Desa Rening Jaya (dua ekar hutan), Taman Seruling (satu ekar belukar) serta kawasan Perindustrian Rasa yang berpunca daripada pembakaran sampah.