PETALING JAYA, 11 FEB: Individu atau pihak yang menceroboh tanah secara haram boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 serta hukuman penjara maksimum lima tahun mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
EXCO Hal Ehwal Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Kerajaan Negeri mengguna pakai dua pendekatan dalam menangani kes pencerobohan tanah, iaitu melalui penguatkuasaan segera atau tindakan perundangan.
Menurutnya, penguatkuasaan segera melibatkan pengeluaran notis pengosongan serta perobohan struktur yang dibina tanpa kebenaran, manakala tindakan perundangan pula merangkumi proses pendakwaan dan perbicaraan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Bagi kes pencerobohan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Kerajaan Negeri memilih pendekatan penguatkuasaan segera berikutan kekangan masa dan keperluan mendesak untuk mengambil semula kawasan tersebut.
“Tanah berkenaan diperlukan bagi pembangunan tanah perkuburan Islam dengan operasi disasarkan bermula Jun ini.
“Sekiranya melalui proses mahkamah, tempoh penyelesaian dijangka mengambil masa lebih panjang kerana perlu melalui peringkat siasatan, pendakwaan dan perbicaraan sebelum tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor.
Pada 9 Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa mematuhi undang-undang, tanpa mengira agama.
Beliau menegaskan pembinaan yang tidak mengikut peraturan tidak lagi dibenarkan dan PBT diberikan kuasa untuk membersihkan kawasan yang bukan milik rumah ibadat bagi menyelesaikan isu berkenaan secara tertib.
Dr Mohammad Fahmi merakamkan penghargaan terhadap arahan dan kenyataan perdana menteri itu, namun memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan di peringkat negeri telah dilaksanakan lebih awal mengikut bidang kuasa sedia ada.
Menurut beliau, setakat ini hanya kawasan PJS 4 dikenal pasti melibatkan kes pencerobohan tanah milik Kerajaan Negeri yang diuruskan melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan pada 10 Februari turut mendedahkan yang terdapat 687 buah kuil dibina tanpa kebenaran sehingga 31 Januari lalu, jumlah yang disifatkan terlalu tinggi berbanding dengan hanya sekitar 11.3 peratus populasi penganut Hindu di negeri.
Sebelum ini, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor, V Papparaidu memaklumkan sebanyak 58 kuil telah berjaya melalui proses pemutihan dan ditempatkan di tapak Rumah Ibadat Bukan Islam.


