Pekerja swasta boleh mohon kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah – Menteri

10 Feb 2026, 9:02 AM
Pekerja swasta boleh mohon kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah – Menteri

SHAH ALAM, 10 FEB: Pekerja sektor swasta boleh memohon pelaksanaan kerja secara fleksibel, termasuk pilihan bekerja dari rumah, menerusi pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang diperkenalkan kerajaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kebajikan pekerja dengan memberi penekanan kepada keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

“Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif AKF dengan meminda Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 dan pindaan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025.

“Semua pekerja sektor swasta boleh memohon kepada pihak majikan untuk pelaksanaan AKF yang meliputi perubahan waktu kerja, perubahan hari bekerja atau perubahan tempat bekerja.

“Permohonan tersebut juga tertakluk kepada hari rehat, tempoh masa kerja, hari kelepasan dan lain-lain syarat perkhidmatan,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata pelaksanaan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah atau waktu kerja anjal bergantung kepada kesesuaian sektor, jenis pekerjaan serta persetujuan antara majikan dan pekerja.

Beliau berkata garis panduan pelaksanaan AKF turut disediakan bagi memberi kefahaman yang jelas kepada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja mengenai aspek asas berkaitan pelaksanaan inisiatif itu.

“Setakat tahun lalu, sebanyak 2,460 organisasi terbabit dan memberi manfaat kepada sekitar 474,400 pekerja.

“Pelaksanaan ini turut disokong oleh insentif cukai berupa potongan tambahan 50 peratus kepada majikan yang melabur dalam pembangunan kapasiti dan perisian berkaitan AKF seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025,” katanya.