Lebih 140 kolam air perkukuh bekalan air Selangor hingga sembilan bulan

12 Feb 2026, 6:00 AM
Lebih 140 kolam air perkukuh bekalan air Selangor hingga sembilan bulan

SHAH ALAM, 12 FEB: Lebih 140 kolam air dan beberapa bekas lombong dikenal pasti sebagai sumber air alternatif bagi membolehkan bekalan air bersih Selangor bertahan sehingga sembilan bulan.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Izham Hashim berkata kolam-kolam tersebut termasuk beberapa bekas lombong yang telah dinaik taraf dengan infrastruktur bekalan air bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah negeri.

“Kolam-kolam ini dijenamakan sebagai Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) yang melibatkan lebih daripada 140 buah kolam dan beberapa bekas lombong yang telah diklusterkan mengikut lembangan sungai dan disesuaikan mengikut persekitaran dan ciri-ciri kolam tersebut,” katanya dalam kenyataan pada 9 Februari lalu.

Menurut beliau, menerusi pelaksanaan SORSS, sumber air alternatif negeri dapat dioptimumkan sekali gus meningkatkan keupayaan bekalan air semasa sehingga tiga bulan.

“Pembangunan SORSS ini juga adalah selaras dengan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang telah disiapkan pada 13 Mei 2025.

“Pelaksanaan SORSS ini melibatkan pengepaman air kolam ke sungai dan peletakan pam mudah alih untuk memastikan Loji Rawatan Air (LRA) dapat mengabstrak dan merawat air mentah untuk bekalan,” katanya.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)menjangkakan fenomena musim panas dan kering akibat Monsun Barat Daya (MBD) akan bermula pada Mei dan dijangka berlarutan sehingga September 2026.

Situasi itu menyebabkan penurunan kadar hujan di kebanyakan kawasan.

Keadaan panas dan kering itu sudah mula dirasai di beberapa kawasan seluruh negara dengan Perlis merekodkan tempoh tanpa hujan selama 30 hari, manakala daerah Kuala Langat di Selangor mencatatkan 23 hari tanpa hujan.

Mengulas lanjut, Izham berkata beberapa kawasan takungan di Lembangan Sungai Selangor telah dilengkapi fasiliti pam bagi penyaluran sumber air alternatif.

Ia meningkatkan kapasiti maksimum saliran sehingga 3,840 juta liter sehari (JLH) melalui pembangunan SJAM Pakej A dan B.

Bagi SJAM Pakej D di Sungai Semenyih pula, beliau berkata projek itu mampu menyalurkan sumber air alternatif sehingga 770 JLH maksimum.

Menurut Izham, dengan pelaksanaan SORSS secara menyeluruh, kesediaan sumber air negeri dijangka mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi Monsun Barat Daya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan Selangor mempunyai tiga telaga sumber air bumi di Hulu Selangor yang digunakan sebagai bekalan air terawat, khususnya bagi sektor industri.

“Kerajaan Negeri melalui LUAS juga mengambil inisiatif mengoptimumkan penggunaan air bumi sebagai sumber alternatif kepada air terawat terutamanya bagi sektor industri melalui pelesenan dan caj Abstraksi Sumber Air untuk mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat terutamanya ketika musim kering ini,” katanya.