KUALA SELANGOR, 10 FEB: Selangor memulakan pembinaan projek Solar Fotovoltaik (PV) Bestari, yang bakal menjadi ladang solar terbesar di negeri ini, sebagai langkah memperkukuh agenda tenaga boleh baharu.
Projek di bawah Program Solar Skala Besar Kelima (LSS5) itu meliputi kawasan lebih 430 hektar dengan kapasiti penjanaan 300 megawatt (MWac).
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek itu penting memandangkan kira-kira separuh pengeluaran dan penggunaan tenaga di Semenanjung Malaysia tertumpu di Lembah Klang, khususnya bagi menyokong sektor industri, kediaman dan pasaran kenderaan elektrik (EV).
Beliau berkata projek berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) serta menyokong Agenda Ekonomi Hijau Selangor yang dilancarkan Oktober lalu.
“Dengan sumbangan 26.2 peratus kepada ekonomi negara oleh 7.3 juta penduduk Selangor, negeri ini memikul tanggungjawab besar termasuk dalam soal tenaga,” katanya pada majlis pecah tanah projek itu di sini, hari ini.
Fasiliti berkapasiti terpasang 460 megawatt-peak (MWp) itu dijangka menjana purata 640,000 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik bersih setahun.
Projek bernilai RM1 bilion itu menyaksikan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) ditandatangani pada Mac 2025, dengan operasi dijadual bermula Julai 2027 dan tempoh operasi selama 21 tahun.
Ia dibangunkan di atas tanah milik Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) oleh Bestari Solar Sdn Bhd (BSSB), konsortium diterajui Edra Power Holdings Sdn Bhd, Worldwide Holdings Bhd dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn Bhd.
Amirudin berkata Selangor berpotensi besar untuk pembangunan solar atas darat dan terapung, selain peluang penjanaan tenaga hidro yang mampu melengkapkan campuran tenaga boleh baharu negeri.
Beliau menambah, projek itu turut menyokong momentum Selangor sebagai negeri dengan peluang pekerjaan baharu tertinggi di negara ini, dengan 43,998 pekerjaan diwujudkan dalam tempoh sembilan bulan tahun lalu.
Katanya, elemen kelestarian akan terus diterapkan dalam pembangunan negeri termasuk menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dijadual dilancarkan hujung tahun ini.


