33 sungai di seluruh negara dikategorikan tercemar

10 Feb 2026, 3:18 AM
33 sungai di seluruh negara dikategorikan tercemar

SHAH ALAM, 10 FEB: Sebanyak 33 sungai di seluruh negara ini dikategorikan sebagai sungai tercemar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata jumlah berkenaan berdasarkan data yang direkodkan sepanjang tahun lalu, lapor Berita Harian.

"Daripada 672 sungai yang dipantau, sebanyak 33 (4.9 peratus) sungai dikategorikan sebagai sungai tercemar.

"Bagaimanapun, tiada sungai yang direkodkan berada di dalam Kelas V (Nilai Indeks Kualiti Air - IKA),” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai jumlah sungai yang diklasifikasikan sebagai tercemar dan kritikal setakat ini.

Mohd Nazri juga ingin tahu mengenai sasaran pemulihan yang dicapai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan mengapakah insiden pencemaran sungai masih berulang di lokasi yang sama walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil sebelum ini.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, insiden pencemaran sungai di negara ini masih berulang walaupun tindakan penguatkuasaan sudah diambil disebabkan oleh beberapa faktor termasuk peningkatan populasi serta kepesatan pembangunan industri dan ekonomi yang secara langsung menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

"Selain itu, berdasarkan analisis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 2020 hingga 2024, trend beban pencemaran daripada aktiviti ternakan babi dan sistem pengolahan kumbahan didapati kekal konsisten serta menyumbang peratusan yang besar kepada jumlah beban pencemaran air sungai di negara ini.

"Tambahan pula, kurangnya kesedaran dan tanggungjawab pengusaha kilang dan industri mendorong kepada pelanggaran undang-undang serta pelupusan sisa secara haram tanpa memikirkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat setempat.

"Walau bagaimanapun, NRES melalui JAS terus komited dalam memantau dan menguatkuasakan peraturan-peraturan berkaitan untuk mencegah pencemaran alam sekitar.

"Namun, isu pencemaran sungai di negara ini perlu ditangani secara holistik dan Tindakan penguatkuasaan secara bersepadu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti air sungai dan seterusnya menangani masalah pencemaran sungai," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS sentiasa peka terhadap alam sekitar dan kualiti air sungai melalui pelaksanaan pengawasan berterusan di 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai secara manual serta 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik di seluruh negara.