Krisis air Gaza kian meruncing walaupun bekalan dari Israel dibuka semula

10 Feb 2026, 3:02 AM
Krisis air Gaza kian meruncing walaupun bekalan dari Israel dibuka semula

NEW YORK, 10 FEB: Bandaraya Gaza terus menghadapi masalah kekurangan air yang meruncing meskipun saluran bekalan air utama dari Israel ke Semenanjung Gaza dibuka semula baru-baru ini, menurut pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, lapor Xinhua.

Menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), rakan kongsi mereka dalam sektor air, kebersihan dan sanitasi melaporkan kekurangan air minuman dan air domestik walaupun selepas pembukaan semula saluran bekalan Mekorot dari Israel.

Hanya 6,000 meter padu air sampai kepada penduduk di bandar raya itu setiap hari dengan kehilangan air yang ketara berlaku di kawasan yang sukar diakses.

“Bagi mengurangkan kekurangan ini, kami bersama rakan kongsi telah meningkatkan pengeluaran air serta penghantaran menggunakan lori dari telaga air bawah tanah dan loji penyahgaraman sektor swasta,” kata OCHA.

“Sejak akhir bulan lalu, rakan kongsi kami telah mengagihkan lebih 100,000 jerigen air, lebih 700,000 ketul sabun dan lebih 25,000 kit kebersihan, lebih 400 tandas serta 250 kit anti-kutu di seluruh Gaza,” menurut pejabat itu.