Bina rumah ibadat: Ketepikan politik, semua kerajaan negeri digesa patuhi peraturan – PM

9 Feb 2026, 2:53 PM
Bina rumah ibadat: Ketepikan politik, semua kerajaan negeri digesa patuhi peraturan – PM
Bina rumah ibadat: Ketepikan politik, semua kerajaan negeri digesa patuhi peraturan – PM
Bina rumah ibadat: Ketepikan politik, semua kerajaan negeri digesa patuhi peraturan – PM
Bina rumah ibadat: Ketepikan politik, semua kerajaan negeri digesa patuhi peraturan – PM

SHAH ALAM, 9 FEB: Perdana Menteri menggesa semua pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk yang diterajui pembangkang supaya mematuhi ketetapan dan peraturan ditetapkan berkaitan pembinaan rumah ibadat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbezaan politik perlu diketepikan bagi memastikan isu pembinaan rumah ibadat dapat ditangani secara teratur dan selaras dengan dasar yang jelas di peringkat Persekutuan.

“Mengenai soal rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya sudah membuat ketetapan di bawah Kerajaan Persekutuan dan akan berunding dengan semua kerajaan negeri termasuk negeri pembangkang.

“Kadang-kadang riuh rendah bercakap soal perjuangan, tetapi kuil haram lebih banyak di negeri mereka. Kita ketepikan perbezaan politik ini kerana pimpinan Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan bahawa negara ini perlu terus maju dengan dasar yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di sini malam ini. Majlis turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata piaknya mengambil masa lebih dua tahun untuk memuktamadkan peraturan berkenaan supaya semua pihak tanpa mengira kaum dan agama dapat mematuhinya.

“Kita mesti terima hakikat Malaysia ialah negara hukum dan semua perkara perlu mengikut peraturan. Bayangkan selepas puluhan tahun kita bergelut dengan isu kuil dan ternakan khinzir, tetapi tiada penyelesaian muktamad.

“Masalah ternakan khinzir telah diselesaikan secara baik oleh Amirudin. Ketegasan ini penting bagi menjamin kelangsungan negara sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat, berteraskan nilai, akhlak dan sahsiah tersendiri,” katanya.

DASA 2026 yang berlangsung selama dua hari hingga esok menghimpunkan pemikir, sarjana, karyawan dan penggiat sastera bagi mengangkat wacana sastera dan budaya sebagai asas pembinaan bandar raya moden yang beridentiti dan berjati diri sebagai ibu negeri Selangor.