SHAH ALAM, 9 FEB: Semua jawatankuasa rumah ibadat diminta memohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memulakan pembinaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata PBT akan meluluskan permohonan pembinaan jika ia mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, lapor Berita Harian.
Jelas beliau, kementerian juga sedia membantu kerajaan negeri dan PBT untuk menyelaras sebarang rancangan pembangunan rumah ibadat termasuk usaha pihak terbabit untuk melaksanakan pemutihan bagi premis sedia ada.
“Kita memahami ada antara bangunan rumah ibadat termasuk masjid, kuil dan tokong yang dibina sebelum kewujudan Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan.
"Sudah tentunya saya harap permohonan mana-mana pembangunan rumah ibadat termasuk mana-manalah (daripada) kerajaan, masjid, kuil tolong mohon kebenaran merancang. Kita akan luluskan ikut peraturan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Pelancaran Ops Siaga Raya 2026 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata pihaknya mengamalkan dasar terbuka dan bersedia menemui mana-mana pihak yang mewakili rumah ibadat untuk mengadakan perbincangan mengenai isu berkenaan.
Beliau berkata, ia inisiatif yang sudah dilaksanakan melalui Unit Rumah Ibadat Bukan Islam di kementerian itu.
Katanya, selain perkara membabitkan permohonan kebenaran merancang, rumah ibadat bukan Islam juga mendapat bantuan membaiki kemudahan usang dan rosak.
"Setiap tahun kita sediakan RM50 juta untuk bantu rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.
"Masjid itu bawah Jabatan Agama Islam dan bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan dana sebanyak RM2.6 bilion yang disediakan," katanya.
Justeru, Kor Ming berkata, isu membabitkan rumah ibadat perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan menjurus ke arah kedamaian kerana perpaduan dan keharmonian ada dua kunci utama kejayaan negara ini.


