Lesen tak diperbaharui, enam bulan untuk penternak babi Tanjung Sepat kosongkan ladang

9 Feb 2026, 8:01 AM
Lesen tak diperbaharui, enam bulan untuk penternak babi Tanjung Sepat kosongkan ladang

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Selangor menetapkan tempoh enam bulan atau sehingga suku ketiga tahun ini kepada semua penternak babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat untuk mengosongkan ladang masing-masing selepas memutuskan tiada pembaharuan lesen akan diberikan.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, keputusan itu dibuat susulan risiko penularan Demam Babi Afrika (ASF) serta isu pencemaran alam sekitar yang masih berterusan di kawasan berkenaan.

“Keputusan Kerajaan Negeri adalah untuk tidak memperbaharui lesen dan penternak diwajibkan mengosongkan ladang. Tempoh enam bulan atau sehingga suku ketiga tahun ini diberikan bagi pengosongan sepenuhnya.

“Sekiranya dalam tempoh itu terdapat ternakan yang disahkan positif ASF, tindakan pelupusan akan dilaksanakan segera. Hanya ternakan yang disahkan negatif dibenarkan dibawa keluar secara berperingkat ke pusat penyembelihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu JKR Selangor serta Surat Setuju Terima Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan 2026–2030 di Stadium Mini JKR Selangor, di sini, hari ini.

Ir Izham berkata, jumlah ladang babi di kawasan terbabit kini berkurang berbanding 30 ladang sebelum ini, selain penternak diingatkan tidak memulakan pusingan ternakan baharu sepanjang tempoh pengosongan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tetap mengambil kira kebajikan penternak dengan mengadakan pertemuan bersama pelabur teknologi moden bagi meneroka kaedah penternakan tertutup yang lebih bersih dan mesra alam.

“Saya telah mengatur pertemuan antara penternak dan pelabur teknologi moden. Sekiranya industri ini ingin diteruskan, mereka perlu beralih kepada sistem penternakan tertutup yang lebih bersih dan terkawal, seperti yang sedang dibangunkan di Sungai Siput, Perak.

“Kaedah ini juga perlu memenuhi kriteria tertentu termasuk lokasi yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk serta punca air,” katanya.

Mengulas cadangan pemindahan ladang ke Bukit Tagar, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri masih belum memuktamadkan sebarang lokasi dan kajian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kawasan paling sesuai.

“Saya pernah menyebut Bukit Tagar kerana terdapat ladang milik GLC yang jauh daripada penempatan penduduk, namun ia hanyalah salah satu pilihan. Beberapa alternatif lain turut sedang dipertimbangkan,” katanya.