PUTRAJAYA, 9 FEB: Isu penternakan babi perlu dilihat dari sudut kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti dan bukannya dipolitikkan sehingga mencetuskan polemik kaum dan agama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Tambahnya lagi kerajaan juga tidak pernah melarang sebarang aktiviti penternakan babi, tetapi ia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira penduduk setempat.
“Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi dan tidak melarang orang bukan Islam makan babi. Tetapi kita juga tidak boleh memaksa masyarakat yang tidak menghendakinya untuk menerima ternakan itu di persekitaran tempat tinggal mereka.
“Saya sendiri tidak bersetuju jika ada ternakan babi di sekitar rumah saya di Sungai Long. Bukan kerana saya anti orang Cina makan babi, tetapi kerana masalah bau dan pengurusan najis yang menimbulkan ketidakselesaan.
“Kalau ada teknologi baharu seperti di Eropah yang menjamin kebersihan, itu boleh dipertimbangkan, tetapi jangan dibawa ke kawasan kampung atau perumahan penduduk. Hal-hal seperti ini perlu dibincangkan secara baik," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara.
Anwar turut menjelaskan yang ternakan babi seharusnya dilakukan di lokasi yang tidak mencetuskan kontroversi awam.
“Kalau di Kuala Lumpur tidak sesuai, maka tidak perlu. Kalau di Selangor sukar, maka sukarlah. Jangan cari masalah kerana isu bau, kesihatan dan najis itu masalah yang nyata,” katanya.
Menyentuh lanjut kontroversi cadangan pembinaan babi sementara di Tanjung Sepat dan hab penternakan kekal di Bukit Tagar, Selangor, beliau berkata cadangan perlu dinilai dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat bagi mengelak wujudnya sentimen kaum dan agama.
Jelasnya, pandangan itu turut mendapat perkenan dan persetujuan Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari.
“Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesesuaian kawasan. Jangan terus bantah sebelum dengar, nanti dikatakan tidak sabar atau dilabel anti-Cina dan anti-babi,” katanya.
Tambahnya lagi, isu ternakan babi dan rumah ibadat dibina tidak sah perlu diselesaikan secara undang-undang dan bukannya tindakan melulu didorong emosi.
“Kalau betul melanggar peraturan, jangan ambil kapak dan terus roboh. Perlu beri masa dan tempoh yang munasabah, tetapi tidak juga dibiarkan terlalu lama tanpa penyelesaian,” katanya.
Beliau turut menegaskan yang pendekatan rundingan secara berhemah dan saling menghormati adalah teras dalam menangani isu sensitif melibatkan pelbagai kaum dan agama.
“Jawapannya bukan dengan bengis, bukan mencerca dan bukan menghina. Kita hormati hak orang yang makan babi, dan mereka juga perlu hormati hak kita untuk menjaga kawasan yang sesuai. Dengan cara itu, negara akan kekal aman,” katanya.


