Moraes jaring penalti minit akhir, Selangor FC ungguli Negeri Sembilan di Paroi

8 Feb 2026, 3:42 PM

SHAH ALAM, 8 FEB: Jaringan penalti lewat perlawanan oleh Chrigor Moraes memastikan Selangor FC (SFC) membawa pulang kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Gol pada minit ke-95 itu menjadi pemisah selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan hampir sepanjang perlawanan, sekali gus memberi kelebihan awal kepada skuad Gergasi Merah menjelang perlawanan timbal balik.

Memetik laporan BH Online, Selangor memulakan perlawanan dengan lebih bertenaga dan menguasai permainan pada separuh masa pertama, namun beberapa percubaan berbahaya berjaya dipatahkan oleh penjaga gol tuan rumah, Muhammad Azri Abdul Ghani.

NSFC bangkit memperkemaskan permainan pada babak kedua dengan beberapa serangan berbahaya menerusi Joseph Esso dan Takumi Sasaki, termasuk cubaan pemain gantian Jovan Motika, tetapi Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi kekal cemerlang di benteng terakhir Selangor.

Skuad pelawat menyangka telah membuka jaringan pada minit ke-76, namun gol Moraes dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan sentuhan tangan dalam proses jaringan.

Keputusan itu mengundang ketidakpuasan hati pengendali Selangor, Kim Pan Gon, yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil Tuan Mohamad Yaasin Tuan Mohd Hanafiah akibat protes.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Moraes sekali lagi menjadi tumpuan apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan, menghadiahkan kemenangan berharga buat Selangor di laman lawan.