Kerajaan teliti kawal selia AI, cegah penyebaran kandungan jelik dan melampau

8 Feb 2026, 9:52 AM
Kerajaan teliti kawal selia AI, cegah penyebaran kandungan jelik dan melampau

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kerajaan sedang meneliti langkah bagi mengawal selia penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) susulan kebimbangan terhadap penyebaran kandungan jelik dan mesej melampau melalui platform digital.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penyalahgunaan rangkaian dan kandungan negatif kini menjadi tumpuan pihaknya untuk menggubal akta khusus bagi memastikan penggunaan AI lebih terkawal dan bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berucap dan merasmikan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada 8 Februari 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Pada masa ini, aplikasi AI masih belum dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kita ada kuasa itu dan boleh melaksanakannya, tetapi kajian masih dijalankan.

“Kesalahan pada waktu ini tertumpu kepada penyalahgunaan rangkaian dan penghantaran kandungan jelik serta melampau,” katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bergambar bersama pengunjung selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Taman Tasik Titiwangsa pada 8 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau menambah, kerajaan turut menilai keperluan pelesenan aplikasi AI sekiranya terdapat cadangan pihak berkuasa untuk mengawal risiko penyalahgunaan dan memastikan perlindungan pengguna digital.

Fahmi menegaskan masyarakat perlu berwaspada terhadap mesej jelik, kandungan melampau atau manipulatif yang boleh disebarkan melalui AI, terutamanya di media sosial dan aplikasi komunikasi.

Sebelum ini, SKMM mengarahkan sekatan sementara ke atas AI Grok bermula 11 Januari lalu selepas ia digunakan berulang kali untuk menjana kandungan lucah, seksual eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau dan manipulasi imej tanpa persetujuan.