Kerajaan perketat tindakan jenayah siber, pelaku bahan seksual kanak-kanak boleh ditahan

8 Feb 2026, 9:23 AM
Kerajaan perketat tindakan jenayah siber, pelaku bahan seksual kanak-kanak boleh ditahan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kerajaan memperketat penguatkuasaan jenayah siber, termasuk penghantaran kandungan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), susulan peningkatan kes penyalahgunaan platform digital yang membahayakan masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pindaan terbaru undang-undang komunikasi dan multimedia membolehkan pihak berkuasa menahan individu yang terlibat dalam penghantaran CSAM.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berucap dan merasmikan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada 8 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Penyalahgunaan rangkaian bagi menghantar kandungan haram termasuk CSAM adalah kesalahan yang boleh ditangkap dan pelaku boleh ditahan.

"Sebelum ini, undang-undang tidak membenarkan pihak berkuasa membuat tangkapan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun pindaan terbaru kini memberi kuasa untuk mengambil tindakan segera,” katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) merasmikan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 turut sama (dari kiri) Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Tpr. Fadlun Mak Ujud, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada 8 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Fahmi berkata kerajaan juga merancang sekatan pembukaan akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sebagai langkah keselamatan dan bagi mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Seramai 150 Wira Keselamatan turut dilantik untuk memberi maklumat dan meningkatkan kesedaran komuniti mengenai modus operandi penipuan siber serta isu keselamatan digital.

Beliau menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman siber, termasuk eksploitasi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab.