Pancingan data: Sindiket aktif musim perayaan, orang ramai diingatkan lebih waspada

8 Feb 2026, 8:54 AM
Pancingan data: Sindiket aktif musim perayaan, orang ramai diingatkan lebih waspada

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan mesej atau pautan mencurigakan di media sosial dan aplikasi pesanan ringkas, khususnya ketika musim perayaan kerana aktiviti penipuan siber lazimnya semakin aktif.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sindiket ‘phishing’ atau pancingan data lazimnya mengambil kesempatan ketika orang ramai sibuk berbelanja dan membuat persiapan perayaan, termasuk semasa penyaluran bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Dalam minggu ini, kita akan sambut Tahun Baharu Cina manakala dalam sebulan lebih lagi Hari Raya Aidilfitri bakal diraikan. Ketika ini, rakyat sibuk mengeluarkan wang untuk persiapan harian.

“Justeru, rakyat diingatkan untuk sentiasa berwaspada kerana sindiket scammer biasanya akan mengambil peluang musim perayaan untuk menjalankan modus operandi pancingan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Fahmi berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kini beroperasi 24 jam bagi membolehkan mangsa membuat laporan segera serta membolehkan tindakan pantas diambil bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Menurutnya, laporan awal kepada NSRC mampu menyekat aktiviti pengeluaran wang mencurigakan dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Beliau turut menegaskan peranan masyarakat amat penting dalam membanteras jenayah siber dengan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta menggunakan saluran rasmi yang disediakan.

“Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkaitan penipuan siber amat penting bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan pantas dan berkesan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran kali kedua Sumbangan Asas Rahmah sebanyak RM100 bermula 9 Februari ini bagi persediaan menjelang Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata bantuan itu dijangka memanfaatkan kira-kira 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan tempoh penggunaan sehingga 31 Disember ini.