Insentif menangkap ikan Pleco kembali, Selangor tawar RM1 sekilogram

8 Feb 2026, 10:00 AM
Insentif menangkap ikan Pleco kembali, Selangor tawar RM1 sekilogram

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri meneruskan Program Insentif Menangkap Ikan Bandaraya (Pleco) 2026 dari 7 Februari hingga 25 Oktober bagi mengawal pembiakan spesies invasif dan memelihara ekosistem sungai.

Jabatan Perikanan Selangor memaklumkan program itu dilaksanakan di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat dan Sungai Damansara, dengan insentif RM1 bagi setiap sekilogram ikan Pleco yang ditangkap.

“Sertai kami untuk mengawal populasi ikan Pleco yang mengancam spesies tempatan. Ini peluang untuk anda memulihara alam sekitar dan menjana pendapatan sampingan,” katanya menerusi Facebook.

Agensi itu menambah, antara syarat dan peraturan penyertaan program:

  • Warganegara Malaysia

  • Berumur 18 tahun dan ke atas

  • Bawa kad pengenalan

  • Tangkapan di kawasan yang ditetapkan

  • Pendaftaran pada 8.00 pagi hingga 10.00 pagi

  • Membawa peralatan sendiri

  • Keselamatan diri adalah tanggungjawab masing-masing

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai program, boleh menghubungi di talian 011-1500 2708 (Haziq) dan 0129112194 (Kapten Amli).

Ikan bandaraya yang ditangkap sempena Program Tangkap Ikan Bandaraya (Pleco) di anak Sungai Kuyoh dekat Seri Kembangan pada 8 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengingatkan orang ramai agar tidak melepaskan ikan Pleco ke dalam sungai atau longkang kerana perbuatan tersebut boleh memburukkan lagi kerosakan alam sekitar.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Universiti Selangor (Unisel) serta rakan strategik berkaitan pengurusan sungai dan alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ogos 2024 mengumumkan pemberian insentif tangkapan ikan bandaraya sebagai langkah mengurangkan populasi yang dikenal pasti antara punca runtuhan tebing sungai dan ban akibat tabiat menebuk lubang untuk bertelur.

Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram ikan bandaraya bermula September 2024 di beberapa lokasi terpilih.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengasas Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Asing, Muhammad Haziq A. Rahman dilaporkan berkata Selangor merekodkan tangkapan ikan asing tertinggi di negara ini iaitu 22 tan sejak aktiviti tersebut dimulakan pada Januari 2022.

Ikan Pleco yang ditangkap di sekitar tebing Sungai Langat sempena Program Inisiatif Pemburu Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat pada 1 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR