KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kempen Internet Selamat 2026 digerakkan sebagai inisiatif utama Kementerian Komunikasi bagi memperkukuh keselamatan digital negara serta membanteras salah guna media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dilaksanakan bagi mengekang perbuatan menyalahgunakan platform digital, termasuk penyebaran mesej dan kandungan jelik.

“Mana-mana individu yang melanggar Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh didakwa di mahkamah dan berdepan denda maksimum sehingga RM500,000.
“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut diberi kuasa berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengenakan kompaun sehingga RM250,000 kepada individu yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Fahmi menegaskan ibu bapa perlu lebih proaktif memantau penggunaan media sosial anak-anak serta memastikan peranti dilengkapi sekatan dan ciri keselamatan yang sesuai.
Beliau mengingatkan peranti bukan pengasuh dan penggunaannya perlu dikawal bagi melindungi kanak-kanak daripada pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Menurut Fahmi, kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk surau dan masjid bagi melaksanakan kempen keselamatan internet di peringkat komuniti, sekali gus memperluas kesedaran penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab.


