Produk asing banjiri pasaran, KPDN bentuk jawatankuasa khas lindungi PMKS

8 Feb 2026, 4:41 AM
Produk asing banjiri pasaran, KPDN bentuk jawatankuasa khas lindungi PMKS

SHAH ALAM, 8 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyifatkan lambakan produk asing yang dijual di pasaran tempatan kini berada pada tahap membimbangkan dan berpotensi menjejaskan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu berkenaan antara perkara yang diberi perhatian dalam jawatankuasa khas antara kementerian yang diselaraskan Kementerian Kewangan, lapor Harian Metro.

Menurutnya, jawatankuasa itu turut melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta KPDN.

Katanya, antara isu utama yang dibangkitkan ialah dakwaan penyalahgunaan pas lawatan sosial bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan, selain perbuatan melambatkan pengedaran barangan di pasaran.

“Wakil PMKS tempatan menyuarakan kebimbangan berhubung penyalahgunaan pas lawatan sosial yang memberi kesan langsung kepada kelangsungan perniagaan mereka.

“Kabinet juga bersetuju dengan cadangan KPDN supaya jawatankuasa sama meneliti risiko lambakan produk asing di pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, PMKS tempatan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemasukan barangan luar negara, sama ada melalui jualan dalam talian oleh pengguna atau diimport oleh pelabur tempatan dan asing untuk kegunaan projek serta perusahaan masing-masing.

Menurutnya, keadaan itu berisiko menyebabkan lambakan produk luar yang menjejaskan pasaran barangan tempatan dan seterusnya mengancam kelangsungan PMKS tempatan.

“Selain itu, terdapat kebimbangan dari segi keselamatan melibatkan standard dan kualiti produk yang masuk ke negara ini tanpa kawalan menyeluruh.

“Oleh sebab isu ini melibatkan bidang kuasa pelbagai kementerian dan agensi, penyelarasan dari segi undang-undang, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan amat diperlukan,” katanya.

Armizan berkata, KPDN mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan kerana ia sejajar dengan agenda menggalakkan dan mengutamakan pembelian barangan tempatan di pasaran dalam negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran 52 unit kedai di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata kebanyakan produk asing yang membanjiri pasaran dibeli secara pukal, khususnya menerusi platform dalam talian, sebelum dijual semula.

“Banyak barangan dibeli bukan untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual semula, termasuk bahan binaan.

“Peralatan kecil seperti pemutar skru juga diimport dari luar, sedangkan industri tempatan mampu membekalkan barangan berkualiti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pengguna dan pengusaha mengutamakan pembelian barangan tempatan yang terbukti berkualiti, selain mampu menyokong kelangsungan industri tempatan.