SHAH ALAM, 8 FEB: Sebanyak 1,381 premis perniagaan di Selangor dikenakan kompaun serta-merta dengan jumlah keseluruhan RM341,900 sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025 hasil penguatkuasaan berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari dipetik akhbar Sinar Harian berkata, tindakan itu diambil susulan pelbagai kesalahan melibatkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 478 kertas siasatan dibuka membabitkan kes lebih serius dengan jumlah kompaun mencecah RM3.87 juta.
“Nilai rampasan sepanjang 2025 direkodkan sebanyak RM18.05 juta, melibatkan pelbagai kategori barangan yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 151 operasi bersepadu turut dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan dilakukan secara konsisten dan menyeluruh di seluruh negeri.
Muhamad Hanif berkata, kegagalan mematuhi undang-undang memberi kesan langsung kepada pengguna selain menjejaskan keadilan dalam pasaran.
“Penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi memastikan hak pengguna dilindungi serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus dan berintegriti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan terdapat kecenderungan segelintir pemilik premis berdaftar menyerahkan sepenuhnya pengurusan perniagaan kepada pihak lain tanpa mengambil kira implikasi undang-undang.
Situasi itu, katanya, dikesan melibatkan premis yang beroperasi atas nama pemilik tempatan tetapi dikendalikan individu yang tidak mempunyai liabiliti sah.
Katanya, setiap premis yang berdaftar di Bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia perlu diuruskan oleh pemilik berdaftar atau pekerja warganegara yang mempunyai tanggungjawab undang-undang.
“Apabila pemilik sah terlibat secara langsung, mereka akan lebih peka dan mempunyai fear factor untuk tidak sewenangnya menyerahkan pengurusan kepada pihak yang tidak mempunyai liabiliti,” tambahnya.
Muhamad Hanif menegaskan, pemilik perniagaan perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab dan tidak memandang ringan aspek pematuhan undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.


