SHAH ALAM, 8 FEB: Harapan seorang operator kilang wanita untuk mendapatkan pinjaman RM100,000 berkecai apabila kerugian RM50,300 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 27 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.
Menurut beliau, kejadian bermula pada 12 Januari lalu apabila mangsa terlihat satu iklan tawaran pinjaman wang ketika melayari laman Facebook.
“Terpengaruh dengan iklan berkenaan, mangsa berhubung dengan seorang individu yang mengaku wakil sebuah bank dan memohon pinjaman RM100,000.
“Bagaimanapun, individu terbabit meminta mangsa melakukan 12 transaksi ke dalam enam akaun berbeza sebagai syarat kelulusan pinjaman,” katanya.
Azli berkata, mangsa melakukan semua transaksi secara berperingkat antara 14 hingga 20 Januari lalu, melibatkan jumlah keseluruhan RM50,300.
“Mangsa menggunakan wang simpanan sendiri serta simpanan milik suaminya sebelum menyedari pinjaman yang dijanjikan tidak diperoleh,” katanya, lapor Berita Harian.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata seorang eksekutif jualan wanita berusia 29 tahun turut menjadi mangsa penipuan selepas kerugian RM50,750 akibat terperdaya dengan tawaran tender membekal set kerusi dan meja kantin sekolah.
Katanya, mangsa membuat laporan di balai polis sama jam 5.27 petang semalam.
“Dalam kes ini, mangsa ditawarkan tender membekal set kerusi dan meja kantin untuk sebuah sekolah di daerah Marang.
“Mangsa diminta membuat bayaran kepada individu yang mengaku wakil pembekal melalui pindahan wang ke akaun ditetapkan,” katanya.
Menurut Azli, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati tender berkenaan tidak wujud, dengan wang digunakan adalah dana syarikat.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


