LIMAS jadi mekanisme selesaikan isu rumah ibadat bukan Islam di Selangor

8 Feb 2026, 12:02 AM
LIMAS jadi mekanisme selesaikan isu rumah ibadat bukan Islam di Selangor
LIMAS jadi mekanisme selesaikan isu rumah ibadat bukan Islam di Selangor
LIMAS jadi mekanisme selesaikan isu rumah ibadat bukan Islam di Selangor
LIMAS jadi mekanisme selesaikan isu rumah ibadat bukan Islam di Selangor
LIMAS jadi mekanisme selesaikan isu rumah ibadat bukan Islam di Selangor

SUBANG JAYA, 8 FEB: Penubuhan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) menjadi inisiatif Kerajaan Negeri bagi memulihkan rumah ibadat serta menyelesaikan isu penempatan tidak sah di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum 2008, tiada mekanisme verifikasi tersusun diwujudkan untuk menyemak kedudukan pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

Justeru, ia menyebabkan timbul pelbagai kes melibatkan lokasi dan status tapak pembinaan yang tidak disahkan sekali gus menimbulkan isu berpanjangan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor di Taman Wawasan Puchong, Subang Jaya pada 7 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Selepas 2008, kita tubuhkan jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) yang kini dikenali sebagai LIMAS. Kita bukan hanya memulihkan rumah ibadat, tetapi tindakan juga diambil,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya terdapat rumah ibadat yang dibina di kawasan tidak wajar sehingga mengganggu ketenteraman dan keharmonian awam, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan itu termasuk merobohkan atau mengalihkan rumah ibadat berkenaan melalui cadangan pembinaan di lokasi lain yang lebih sesuai,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Taman Rekreasi Wawasan, Puchong, di sini, malam tadi.

Tambah beliau, pendekatan berkenaan dilaksanakan bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negeri meskipun terdapat pihak tertentu cuba memanipulasi isu rumah ibadat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari diiringi EXCO Pelaburan Ng Sze Han ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor di Taman Wawasan Puchong, Subang Jaya pada 7 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Saya bersama pentadbiran negeri ingin melindungi Perlembagaan dan Rukun Negara. Semua orang ada agama serta kepercayaannya,” katanya.

Namun, beliau menegaskan pembinaan rumah ibadat tidak boleh dilakukan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

“Mengapa ada pihak membangkitkan perkara ini sebagai isu kaum dan agama? Dia takut masyarakat hidup aman damai serta bersatu padu seperti di negeri Selangor,” ujarnya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han bersama penerima sumbangan ketika majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor di Taman Wawasan Puchong, Subang Jaya pada 7 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR