Selangor nadi ekonomi negara, MB gesa rakyat kekalkan perpaduan

7 Feb 2026, 4:29 PM
Selangor nadi ekonomi negara, MB gesa rakyat kekalkan perpaduan
Selangor nadi ekonomi negara, MB gesa rakyat kekalkan perpaduan
Selangor nadi ekonomi negara, MB gesa rakyat kekalkan perpaduan

SUBANG JAYA, 8 FEB: Selangor menyumbang kira-kira satu perempat kepada ekonomi negara dan kekuatan itu bergantung kepada solidariti serta perpaduan rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata, keharmonian dan kestabilan masyarakat perlu terus dipelihara bagi memastikan Selangor kekal sebagai nadi ekonomi negara dan meneruskan kecemerlangan sedia ada.

Menurut Amirudin, sebarang perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya perlu dibincangkan dan diselesaikan secara matang serta harmoni demi kepentingan bersama.

“Kalau ada perbezaan kita bincang. Kalau ada isu kita cuba selesaikan secara harmoni. Kalau kita boleh rumuskan dan muktamadkan, kita akhiri dengan segera.

"Sebab apa? Kita perlu terus maju. Negeri Selangor sangat vital (mustahak) dan amat penting kepada negara.

"Mengapa? Kerana negeri menyumbang lebih daripada satu perempat kepada ekonomi Malaysia. Tanpa kekuatan dan kestabilan Selangor, ekonomi negara juga akan terkesan. Jika kita gagal, Malaysia turut menerima impak dan kesan yang buruk,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han menggaul beras dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor di Taman Wawasan Puchong, Subang Jaya pada 7 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Rekreasi Wawasan, Puchong di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, Amirudin turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh atau terhasut dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja membakar sentimen perbezaan demi kepentingan politik sempit.

“Bagi mereka, yang penting kepuasan hatinya ataupun ada yang cuba ingin dapat kemenangan politik dengan segera. Ini bukan zero-sum game.

"Negeri ini merupakan masa depan kita dan negara. Sebagai Dato’ Menteri Besar, saya mempunyai tanggungjawab untuk melindungi masyarakat Melayu, Cina dan India di Selangor,” ujarnya.

Tambah beliau, sejak 2008, pentadbiran Kerajaan Negeri memastikan semua kaum dan agama diberikan layanan yang adil, selain hak masing-masing dijamin selaras dengan Perlembagaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa akur dan cukup insaf bahawa perpaduan masyarakat pelbagai kaum dalam negeri ini harus dipertahankan.

"Ini kerana dengan semangat ini memacu negeri menjadikan Selangor sebagai juara ekonomi dalam negara kita,” jelasnya.