Ultras Selangor dilarang hadiri tiga perlawanan Selangor FC

7 Feb 2026, 1:55 PM
Ultras Selangor dilarang hadiri tiga perlawanan Selangor FC

SHAH ALAM, 7 FEB: Kumpulan penyokong Ultras Selangor dilarang menghadiri tiga perlawanan Selangor FC bermula 8 hingga 22 Februari ini susulan insiden melibatkan segelintir penyokong sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC, 1 Februari lalu.

Selangor FC memaklumkan keputusan itu dibuat hasil penelitian fakta kes dan perbincangan bersama pihak berkuasa, selain mengambil kira titah perintah serta cadangan Sultan Selangor selaku Penaung Diraja Kelab, dan nasihat Raja Muda Selangor selaku Pengerusi Selangor FC.

Larangan itu melibatkan dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC, termasuk aksi di gelanggang lawan, serta satu perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC.

“Hasil penelitian fakta kes dan perbincangan bersama pihak berkuasa, tindakan disiplin berikut telah diputuskan ke atas penyokong-penyokong yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain larangan menghadiri perlawanan, Selangor FC turut memaklumkan individu yang disabitkan kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dan atau pemilikan dadah dilarang memasuki stadium bagi mana-mana perlawanan yang melibatkan Selangor FC selama tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta.

“Kelab turut menyeru semua penyokong agar menyokong secara bertanggungjawab, saling menghormati serta bersama-sama memelihara keselamatan awam, imej kelab dan masa depan bola sepak tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Selangor FC menyatakan kepercayaan bahawa Ultras Selangor akan mengambil iktibar daripada insiden tersebut dan kembali ke stadium dengan semangat serta azam baharu.

Pada 3 Februari lalu, seramai 33 penyokong pasukan bola sepak Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terenganu untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Terdahulu tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di kawasan itu.

Perbuatan itu mencetuskan kemarahan warga maya dan berlaku perdebatan antara mereka di laman sosial.