SHAH ALAM, 7 FEB: Seramai 38 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur pagi tadi selepas didapati positif dadah jenis methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) dan ketamin.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah berkata kesemua individu berkenaan dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan dalam Op Pusat Hiburan bermula jam 12.30 tengah malam.
Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan lapan wanita warga tempatan berusia antara 22 hingga 61 tahun.
Katanya, pusat hiburan berkenaan dikenal pasti sebagai antara yang terbesar dengan memiliki 40 bilik hiburan.
“Setiap bilik dianggarkan bernilai antara RM2,000 hingga RM8,000 dengan kapasiti pengunjung boleh mencecah sehingga 300 orang pada satu-satu masa,” katanya ketika sidang media, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata pihaknya turut menemui beberapa paket jus minuman yang mengandungi campuran dadah jenis methamphetamine, MDMA dan ketamin.
Beliau menjelaskan campuran berkenaan dikenal pasti sangat berbahaya kerana MDMA bertindak sebagai dadah perangsang yang memberi kesan ‘high’, manakala ketamin pula memberi kesan khayal.
“Gabungan ini boleh menyebabkan degupan jantung terlalu laju dan meningkatkan risiko ‘overdos’,” katanya.
Tambah beliau, ketamin turut ditemui secara berasingan di dalam premis berkenaan dengan anggaran harga sekitar RM180 bagi satu gram, manakala satu paket jus dadah dianggarkan bernilai RM600.
Menurutnya, operasi seumpama itu akan diteruskan khususnya terhadap pusat hiburan yang dikenal pasti berisiko tinggi, dengan fokus kepada rawatan dan pemulihan awal bagi mengelakkan individu terbabit menjadi penagih tegar.
Katanya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke AADK Dang Wangi bagi proses dokumentasi serta tindakan lanjut.


