Polis tumpas sindiket pinjaman palsu, lapan individu ditahan

7 Feb 2026, 1:15 AM
Polis tumpas sindiket pinjaman palsu, lapan individu ditahan
Polis tumpas sindiket pinjaman palsu, lapan individu ditahan

SHAH ALAM, 7 FEB: Polis menumpaskan sindiket penipuan pinjaman peribadi tidak wujud yang beroperasi melalui sebuah pusat panggilan di Taman Sungai Abong, Muar semalam dengan menahan lapan individu termasuk tiga wanita.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hasil risikan serta maklumat awam.

Beliau berkata semua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun dan premis berkenaan dipercayai dijadikan pusat operasi ‘calling centre’ sindiket yang aktif sejak Jun tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan skrip penipuan dengan menyamar sebagai wakil institusi kewangan dan syarikat pinjaman bagi memperdaya mangsa melalui panggilan telefon serta media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata pihak polis turut merampas 20 telefon pintar, beberapa komputer riba, modem Internet tanpa wayar, buku bank dan buku catatan mengandungi skrip penipuan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,000.

Menurutnya, lapan suspek itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 20 individu yang dikesan terbabit dalam kegiatan penipuan menyasarkan mangsa di seluruh negara.

“Kesemua suspek direman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak 4 Februari hingga Khamis lalu, IPD Muar telah membuat tangkapan susulan terhadap 12 individu di beberapa negeri kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan telefon, pembelian barangan melalui platform e-dagang serta penyalahgunaan akaun bank dengan jumlah kerugian melebihi RM190,000.

“Siasatan mendapati kebanyakan kes membabitkan penyerahan atau penyewaan kad ATM dan nombor pin kepada individu tidak dikenali yang ditawarkan melalui media sosial,” katanya.