PUTRAJAYA, 6 FEB: Malaysia hari ini menghantar 40,000 naskhah al-Quran berserta terjemahan ke Washington, Amerika Syarikat; Ivory Coast dan Ghana, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyebarkan nilai Islam dan ilmu al-Quran ke seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata penghantaran itu dilaksanakan melalui Kompleks Nasyrul Quran dengan kerjasama Yayasan Restu serta penyumbang wakaf.
Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada projek Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyebarkan risalah al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa ke seluruh dunia.
"Penghantaran al-Quran ini bukan sekadar misi logistik, tetapi satu amanah dakwah dan kemanusiaan.
"Ia melambangkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kefahaman Islam yang rahmatan lil 'alamin di peringkat global," katanya pada Majlis Peluncuran Dua Kontena Penghantaran al-Quran dengan Terjemahan ke Washington, Ivory Coast dan Ghana, di sini, hari ini.
Zulkifli berkata setakat ini Malaysia telah menghantar al-Quran dengan terjemahan pelbagai bahasa ke lebih 40 negara.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa berkata penghantaran itu adalah sebahagian daripada komitmen yayasan tersebut dalam menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab percetakan, penterjemahan dan pengedaran al-Quran bertaraf antarabangsa.
"Penghantaran ini melengkapkan 553,966 naskhah yang sudah disalurkan ke beberapa negara melalui pelbagai agensi dan organisasi," katanya.
Penghantaran itu meliputi 20,000 naskhah al-Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Sepanyol Eropah (Spanish Europe) dan Bahasa Sepanyol Latin (Spanish Latin) ke Amerika Syarikat (Washington); dan 20,000 al-Quran terjemahan Bahasa Perancis dan Inggeris ke Ivory Coast dan Ghana.
- BERNAMA


