Lelaki warga emas disyaki dikurung kerana masalah kesihatan mental

6 Feb 2026, 8:38 AM
Lelaki warga emas disyaki dikurung kerana masalah kesihatan mental

SHAH ALAM, 6 FEB: Seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan uzur di sebuah rumah di Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan, sebelum diselamatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), semalam.

Warga emas dikenali sebagai Pak Mail itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya di rumah yang kotor, dengan fizikal terlalu kurus dan lemah sehingga terpaksa didukung oleh sukarelawan.

Kes berkenaan menarik perhatian ramai selepas aktivis kebajikan, Abbe Hae berkongsi kisah tersebut di media sosial.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negeri (ADN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkaitan kes tersebut lebih awal dan segera mengarahkan penghulu mukim untuk membuat semakan serta tindakan susulan di peringkat kampung.

“Hasil maklum balas daripada penghulu selepas berhubung secara langsung dengan anak kepada warga emas itu, dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah kesihatan mental.

“Tindakan mengurung dibuat oleh ahli keluarga atas faktor keselamatan bagi mengelakkan mangsa mengganggu orang awam dan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta orang lain.

“Perkara ini menunjukkan isu berkenaan bukan kes pengabaian yang disengajakan, sebaliknya membabitkan situasi kesihatan mental yang memerlukan pendekatan berhemah, profesional dan berfakta serta pembabitan agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Zamakhshari turut menegaskan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian dan setiap maklumat yang diterima akan ditangani mengikut prosedur, nasihat pihak berautoriti serta keperluan sebenar kes, termasuk aspek keselamatan dan kesihatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat andaian atau membina naratif berdasarkan emosi dan visual semata-mata kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham serta tekanan tidak wajar terhadap keluarga terbabit.

Tambahnya, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan isu sensitif seperti ini ditangani secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan melalui saluran yang betul.