Masalah kutipan sampah di Subang Jaya isu lama, operasi kini capai 95 peratus

6 Feb 2026, 7:00 AM
Masalah kutipan sampah di Subang Jaya isu lama, operasi kini capai 95 peratus
Masalah kutipan sampah di Subang Jaya isu lama, operasi kini capai 95 peratus

SHAH ALAM, 6 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) menegaskan isu kutipan sampah di Subang Jaya yang dibangkitkan sebelum ini merupakan masalah lama dan tidak lagi mencerminkan keadaan semasa operasi syarikat berkenaan.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, isu tersebut berlaku ketika fasa peralihan pelantikan kontraktor baharu yang ketika itu berdepan beberapa kekangan operasi sebelum keadaan kembali stabil.

Menurut beliau, prestasi operasi kutipan sampah di Subang Jaya kini menunjukkan peningkatan ketara apabila tahap pelaksanaan telah mencapai antara 90 hingga 95 peratus dan berada dalam keadaan terkawal.

“Laporan yang menonjolkan isu lama itu tidak mencerminkan situasi semasa dan memberi gambaran negatif terhadap KDEBWM, sedangkan operasi kutipan sampah di Subang Jaya kini mencapai 90 hingga 95 peratus serta berada dalam keadaan terkawal.

“Setiap aduan yang diterima akan cuba diselesaikan dalam tempoh 24 jam, namun ia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan mengikut kaedah yang ditetapkan bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan lebih cepat, tepat dan berkesan,” katanya.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEB Waste Management (KDEBWM), Mahfuzah Muhammad Tarmidi. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Media Selangor di Ibu Pejabat KDEBWM di Shah Alam pada 4 Februari lalu.

Mahfuzah menjelaskan, kontraktor baharu yang dilantik memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kawasan operasi bagi memastikan jadual kutipan dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan menyeluruh.

Tambah beliau, KDEBWM sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Selangor dan komited untuk terus menambah baik kualiti perkhidmatan kutipan sisa pepejal.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Selangor meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kutipan sampah domestik dan sisa taman yang didakwa tidak konsisten di Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Laporan tersebut turut mendakwa masalah itu bermula selepas KDEBWM memperbaharui kontrak dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 1 Januari dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1 November lalu.