SHAH ALAM, 5 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan semua kanak-kanak enam tahun yang mendaftar kemasukan darjah satu pada 2027 akan mendapat tempat tanpa sebarang penolakan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah melakukan persiapan pada tahap maksimum untuk menerima kemasukan murid pada usia berkenaan.
Katanya, ibu bapa juga tidak perlu membuat pendaftaran untuk prasekolah jika telah mendaftarkan anak mereka bagi kemasukan darjah satu pada usia enam tahun, lapor Berita Harian.
"Kita bersedia untuk maksimum. Maknanya persiapan kita ketika ini maksimum... walaupun ada pilihan, persiapan kita maksimum dengan mengambil kira pemetaan yang sudahpun kita buat.
"Dari segi sambutan yang sudahpun kita dapat kenal pasti membabitkan kawasan tertentu. Jadi tidak akan ada penolakan... siapa yang terima dan siapa yang memohon itu kita akan masukkan.
"Keduanya tidak perlu mereka untuk mendaftar ke prasekolah... sebab ini soal pilihan dan kita sudah sebut ada jaminan tempat dan persiapan kita juga maksimum," katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina menjawab soalan dibangkitkan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang mahu tahu pendekatan KPM sekiranya jumlah pendaftaran kemasukan ke darjah satu melebihi tempat disediakan.
Sebelum ini, KPM memaklumkan pendaftaran darjah satu bagi sesi akademik 2027 termasuk untuk murid berusia enam tahun akan dibuka mulai 15 Februari hingga 31 Mac ini.
Menurut KPM, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara dalam dua kohort umur iaitu enam tahun (5+) yang lahir pada 2 Januari hingga 31 Disember 2021 serta tujuh tahun (6+) bagi 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021
Pada masa sama, Fadhlina berkata, bagi isu membabitkan sekolah yang dapat, penyelesaian untuk menjayakan penempatan darjah satu pada usia enam tahun ini ialah mengoptimumkan prasarana termasuk membuka kelas tambahan, melaksanakan sistem binaan berindustri (IBS) atau membawa mereka ke sekolah lain.
"Kita menjangkakan sambutan luar biasa sebab itu persiapan kita maksimum... saya tegaskan kita akan membuka kelas tambahan. Kalau sekolah itu memang sudah tidak boleh (tidak muat), hendak buat IBSpun sudah tidak boleh, maknanya kita ada pilihan sekolah lainlah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, KPM bersetuju untuk membenarkan tadika swasta membuka pengambilan kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun, berbanding empat tahun sebelum ini.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi menyokong kemasukan murid darjah satu seawal usia enam tahun yang mana antara sebab dasar itu dilaksanakan adalah kerana peningkatan pendaftaran kanak-kanak di prasekolah seawal usia empat tahun.
"Situasi ini menunjukkan bahawa semakin ramai kanak-kanak di Malaysia memasuki prasekolah seawal usia empat dan lima tahun yang membolehkan mereka mendapat pendedahan kepada kemahiran literasi asas lebih awal selain kemahiran bersosial.
"Persediaan ini menunjukkan kanak-kanak di Malaysia bersedia dari sudut perkembangan kognitif, emosi dan sosial untuk memasuki sistem pembelajaran secara formal seawal umur enam tahun," katanya.
Beliau berkata, pengambilan 20,000 guru baharu Gred DG9 secara perkhidmatan kontrak (CoS) juga sebagai persiapan bagi menerima kemasukan murid pada usia enam tahun ke Tahun Satu nanti.
Katanya, selain jumlah 20,000 guru itu, pengambilan tenaga pengajar itu melalui calon simpanan dan menerusi Diploma Pendidikan akan dilakukan bagi mengisi permintaan arus perdana termasuk menggantikan guru yang bersara.
"Pengambilan seramai 20,000 guru baru yang diumumkan bukanlah untuk menggantikan atau mengenepikan graduan pendidikan daripada universiti.
"Sebaliknya ia adalah pengambilan tambahan bagi menampung keperluan segera terutamanya untuk sistem pendidikan di sekolah rendah seluruh negara.
"Pengambilan CoS adalah bersifat berfasa dan sementara bagi menampung keperluan mendesak di sekolah tertentu dan tidak menggantikan perancangan pengambilan berasaskan laluan profesional keguruan," katanya.
Beliau berkata, laluan kemasukan secara CoS tidak menjejaskan standard profesional keguruan kerana semua calon perlu melalui saringan ketat yang ditetapkan KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).


