Apabila rumah tangga mula dilanda konflik, perceraian sering muncul sebagai jalan terakhir, meskipun keputusan itu tidak diwajibkan melalui sesi kaunseling atau runding cara terlebih dahulu.
Namun, ruang untuk berhenti seketika dan berfikir dengan lebih tenang amat digalakkan agar keputusan tidak dibuat dalam keadaan emosi yang bergelora, sebelum satu keputusan besar diambil.
Sebenarnya pejabat agama Islam menyediakan perkhidmatan runding cara secara percuma dikendalikan pegawai terlatih yang berperanan membantu pasangan menilai kembali pilihan yang ada.
Tidak kurang juga ada pasangan yang mencari sokongan di media sosial. Padahal, pandangan netizen yang lahir daripada simpati sesaat sering kali bersifat berat sebelah dan tidak memahami keseluruhan cerita sebenar.
Keputusan yang dibentuk daripada sokongan emosi di ruang maya bukan sahaja berisiko menzalimi salah satu pihak, malah boleh mengabaikan kesan jangka panjang terhadap anak-anak yang turut terkesan dalam senyap.
"Kaunseling bertujuan meredakan emosi, memberi panduan serta memastikan sebarang keputusan perceraian dibuat secara teratur, baik dan menepati hukum syarak.
"Ramai pasangan datang dengan niat untuk bercerai, tetapi selepas sesi runding cara, ada yang menyedari keputusan itu dibuat dalam keadaan emosi," kata ketua Unit Undang-Undang Keluarga Pejabat Agama Islam daerah Petaling ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Mengulas proses runding cara, Ustaz Norfahmi Muhamad Zazli menjelaskan pejabat agama akan memanggil kedua-dua pihak bagi menjelaskan punca konflik sebelum memberikan tempoh masa tertentu bagi melihat perubahan dan usaha perdamaian.
"Biasanya tempoh sekitar tiga bulan, bergantung kepada pertujuan bersama. Selepas itu, pasangan akan dipanggil semula untuk menentukan sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya."
Sekitar 60 peratus pasangan berjaya didamaikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melibatkan perkahwinan yang telah bertahan lebih 10 tahun.
Pejabat agama dan mahkamah syariah merupakan pihak berautoriti dalam mengesahkan perceraian umat Islam, berbanding individu atau pihak luar yang tidak bertauliah.
Ustaz Norfahmi turut mengingatkan perceraian di luar mahkamah, termasuk melalui aplikasi WhatsApp, pesanan suara atau lafaz yang dilakukan di rumah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan penalti.
"Hakim Syarie tidak akan membenarkan lafaz cerai secara sewenang-wenangnya, sebaliknya menilai tuntutan bagi memastikan ia menepati peraturan dan hukum syarak.
"Hanya hakim Syarie berhak mengesahkan lafaz talak, dan kegagalan merekodkan perceraian boleh membawa kepada risiko talak terkumpul, kekeliruan status rujuk serta masalah nasab anak," katanya.

Penceraian pasangan muda meningkat
Kes perceraian di Selangor menunjukkan trend peningkatan setiap tahun, dengan majoriti melibatkan pasangan muda dan perkahwinan berusia bawah lima tahun.
Antara punca dikenal pasti termasuk faktor emosi, jangkaan tidak realistik terhadap perkahwinan, masalah kewangan, komunikasi lemah serta tabiat zaman bujang yang dibawa ke alam rumah tangga.
"Pasangan muda kini tidak lagi takut bergelar janda atau duda. Apatah lagi sekarang sudah ramai wanita mempunyai pendapatan sendiri, malah lebih besar daripada kaum lelaki," kata Ustaz Norfahmi.
Bahagian Undang-undang Keluarga JAIS beroperasi di sembilan daerah di Selangor, dengan urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) sebagai teras perkhidmatan pejabat agama.
"Pendaftar NCR bertanggungjawab memantau rekod perkahwinan, perceraian dan rujuk pasangan, selain pejabat agama beroperasi setiap hari bekerja kecuali Sabtu dan Ahad."
JAIS turut melaksanakan program kesedaran kekeluargaan, Jawatankuasa Pendamai (JKP) serta kelas pascaperkahwinan khusus kepada pasangan yang mempunyai rekod kes di pejabat agama.
Semua urusan NCR di Selangor kini dilaksanakan menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPIM) yang dibangunkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan digunakan di sembilan negeri.
"Dengan adanya sistem itu urusan lebih mudah dan pantas serta pemantauan rekod boleh dilakukan secara bersepadu tanpa bergantung kepada dokumen fizikal," jelas Ustaz Norfahmi.


